SHAH ALAM, 23 SEPT: Industri kreatif Malaysia perlu diberikan lebih ruang dan keterbukaan dalam penghasilan kandungan filem agar mampu berkembang setanding dengan pasaran antarabangsa, kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan KRU.
Dato’ Norman Abdul Halim menegaskan, keterbukaan itu penting dalam menyuntik kepelbagaian naratif dan kreativiti yang lebih berani sejajar dengan perkembangan pesat industri kreatif negara khususnya dalam sektor perfileman dan animasi.
“Malaysia telah menunjukkan banyak perkembangan positif dalam sektor ekonomi jingga. Kita antara negara terawal di Asia yang memberi tumpuan kepada pembangunan industri kreatif, terutamanya animasi.
“Selain itu, nilai produksi untuk konsert dan karya tempatan kini jauh lebih tinggi berbanding dahulu. Ini menunjukkan keyakinan pelabur dan penonton terhadap kualiti kerja anak tempatan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu dalam rancangan Borak Kaypoh terbitan Media Selangor di sini, malam tadi.
Menurut Norman, penciptaan serta pemerdagangan harta intelek tempatan telah membuktikan keupayaan bakat kreatif Malaysia untuk menembusi pasaran global selain kejayaan penganjuran konsert artis tempatan yang semakin mendapat tempat dan mencatat pulangan memberangsangkan.
“Namun begitu, saya berharap agar polisi dan garis panduan yang mengawal kandungan filem dapat dikaji semula supaya tidak mengekang kreativiti pembikin filem tanah air.
“Jika kita mahu hasilkan karya bertaraf antarabangsa, pendekatan perlu lebih global dan terbuka termasuk berani mengetengahkan realiti semasa dalam filem agar naratif lebih relevan, jujur dan mudah diterima di peringkat global,” tambahnya.
Sebelum ini, Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohd Faizal Musa berpendapat ekonomi jingga di Malaysia perlu dilindungi daripada ketidaktentuan politik bagi memastikan pembangunan industri kreatif negara tidak terganggu.
Beliau turut mencadangkan penubuhan semula Kementerian Seni dan Budaya tidak lagi digabungkan di bawah Kementerian Pelancongan itu dapat memastikan sektor seni dan budaya diberi tumpuan khusus tanpa terpinggir.