Selangor pertimbang anjur SIBS di seluruh Asean

11 Okt 2025, 1:47 AM
Selangor pertimbang anjur SIBS di seluruh Asean

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) akan dipertimbangkan untuk melebarkan sayapnya ke seluruh rantau Asean berdasarkan kejayaan penganjuran dan pengiktirafan jenama acara itu, kata EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.

Beliau berkata, langkah itu seiring dengan reputasi SIBS sebagai antara platform perdagangan dan pelaburan terkemuka di Asia Tenggara.

“Berdasarkan asas kukuh yang telah dibina, visi kami untuk SIBS adalah menjadikannya sebagai platform utama Asean bagi kerjasama dan inovasi perniagaan. Matlamatnya adalah untuk menggalakkan pertukaran ekonomi, memperkukuh hubungan serantau dan membuka peluang baharu.

“Bagi mencapai hasrat ini, kami mungkin akan meneliti potensi peluasan jenama SIBS ke lokasi lain di rantau ini pada masa hadapan,” katanya pada Majlis Penghargaan SIBS 2025 yang diadakan malam tadi bagi meraikan penyertaan delegasi, peserta perdagangan dan vendor.

Ng turut menambah bahawa peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun ini memberi peluang kepada Selangor untuk memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan inklusif di seluruh blok serantau itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris, dalam ucapan aluannya memaklumkan bahawa edisi 2025 yang disertai lebih 20 negara telah mencatat kehadiran 44,196 pelawat menjelang hari ketiga penganjuran.

“Sehingga tamat hari ketiga, SIBS 2025 merekodkan seramai 44,196 pelawat dan dengan momentum yang berterusan sehingga hari terakhir, kami yakin jumlah itu mampu melepasi angka 50,000.

“Namun, lebih penting daripada angka ialah jaringan yang terjalin, kerjasama yang dibentuk serta peluang baharu yang tercipta,” katanya.

Menurut beliau, SIBS kini muncul sebagai platform dipercayai bagi sektor perniagaan dan kerajaan untuk berhubung serta menjalin kerjasama. Kejayaannya bukan sekadar diukur melalui kadar penyertaan tinggi, malah turut dilihat pada kepelbagaian sektor yang diterokai — daripada makanan dan minuman, aeroangkasa, ekonomi digital hingga ke perkhidmatan penjagaan.

Edisi kali ini turut menampilkan penyertaan pempamer dan delegasi dari pelbagai negara termasuk Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Brunei, China, Jepun, Singapura, Arab Saudi, United Kingdom, Perancis, Taiwan, Finland dan Kenya.

Kerajaan Negeri Selangor menetapkan nilai transaksi sebanyak RM10 bilion bagi tahun ini, satu unjuran sederhana meskipun penganjuran tahun lalu mencatatkan rekod tertinggi dengan nilai transaksi berjumlah RM13.86 bilion.