Hari Cuci Malaysia: MBSA galak penduduk selenggara tangki najis

11 Okt 2025, 2:00 AM
Hari Cuci Malaysia: MBSA galak penduduk selenggara tangki najis
Hari Cuci Malaysia: MBSA galak penduduk selenggara tangki najis

SHAH ALAM, 10 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus menekankan kepentingan kebersihan dan kelestarian alam sekitar menerusi Program Hari Cuci Malaysia Zon 11 sempena World Clean Up Day yang diadakan serentak seluruh negara pada 27 September lalu.

Program yang berlangsung di Pusat Penempatan Mualaf Baitul Salam, Kampung Jalan Kebun itu turut menampilkan demonstrasi penyedutan air kumbahan oleh Indah Water Konsortium (IWK).

Ahli Majlis Zon 11 Muhammad Nabil Norhalim berkata, sempena program tersebut MBSA melancarkan Kempen Ops Sedut bermula 1 September hingga 30 November 2025 bagi menggalakkan penduduk membuat janji temu penyedutan tangki najis di kediaman masing-masing.

Menurutnya, ramai penduduk masih tidak menyedari tangki najis perlu diselenggara secara berkala bagi mengelakkan pencemaran air serta risiko penyakit bawaan air seperti malaria dan denggi.

Kakitangan Indah Water Konsortium (IWK) mengadakan demonstrasi menyedut air kumbahan kepada komuniti bertempat di Baitus Salam (Pusat Perlindungan sementara Asnaf Muallaf ) di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam.

“Kempen ini turut disertai dengan cabutan bertuah termasuk pakej umrah dan barangan elektrik bagi menarik penyertaan penduduk,” katanya.

Program berkenaan juga mendidik komuniti membezakan antara sampah biasa dan bahan boleh kitar semula melalui aktiviti pengasingan sisa seperti botol plastik, kertas dan tin.

Usaha ini disokong Jabatan Kebersihan Awam dan Kesihatan Sisa MBSA yang komited memastikan kutipan sampah serta pembersihan kawasan dijalankan secara sistematik dan berterusan.

Sementara itu, Ketua Kampung Jalan Kebun Ahmad Muhidin Dasuki berkata semangat kerjasama yang ditunjukkan dalam program itu wajar dicontohi masyarakat.

“Setiap lapisan masyarakat digalakkan memainkan peranan dalam menjaga kebersihan dan kesihatan persekitaran. Tindakan kecil seperti mengutip sampah dan menyelenggara sistem kumbahan mampu memberi impak besar kepada komuniti,” katanya.