SHAH ALAM, 30 SEPT: Sebanyak 1,176 kg sampah dikutip di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sempena Hari Cuci Malaysia, kelmarin.
Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Aznan Hassan berkata seramai 292 sukarelawan mengambil bahagian dalam aktiviti pembersihan di 10 kawasan.
“Objektif program adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kebersihan awam dan cara membuang sampah dengan betul.
“Konsep program pula adalah pembersihan mega bersepadu melibatkan 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara,” katanya.
Program kutip sampah di MBPJ sempena Hari Cuci Malaysia merupakan inisiatif Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi meraikan Hari Kebersihan Sedunia yang disambut 28 September setiap tahun.
Beliau menambah tiga rekod bakal dicipta dan dipecahkan dalam The Malaysia Book of Records antaranya rekod penyertaan teramai serentak di seluruh negara.
“Dua rekod lain jumlah kutipan sisa pepejal terberat (sisa isi rumah) dan bilangan lokasi penyertaan terbanyak.
“Hasil daripada program pembersihan akan dikumpulkan dan diaudit oleh pihak Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, MBPJ,” katanya.


