KUALA LUMPUR, 10 OKT: Pendekatan ekonomi penjagaan yang diterapkan Kerajaan Negeri diyakini mampu memperkukuh pembangunan Selangor melalui peningkatan kesejahteraan rakyat dan pemerkasaan wanita.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata sektor penjagaan membentuk asas kekuatan bakat dan nilai kekeluargaan yang mampu mencorak pertumbuhan inklusif serta membina bandar prihatin.

“Ia juga akan memberi kesan kepada aspek pendigitalan. Penggunaan teknologi pintar dapat meningkatkan perkhidmatan penjagaan selain dapat tarik penyertaan golongan muda serta lelaki.
“Ekonomi penjagaan yang turut melibatkan kerjasama awam-swasta menerusi memorandum persefahaman akan memperkukuh Selangor sebagai negeri penyayang, berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan.
“Inilah cara kita membina ekosistem penjagaan moden, produktif dan berteraskan kemanusiaan,” katanya ketika ditemui Media Selangor selepas perasmian Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) hari ini.
Terdahulu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyempurnakan sidang berkenaan yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Anfaal menambah, ekonomi penjagaan bukan beban kewangan sebaliknya pelaburan jangka panjang yang meningkatkan produktiviti serta perpaduan sosial.
“Jika dilaksana dengan betul, ia akan membentuk sebuah negeri penyayang, pintar, sejahtera dan makmur. Bukan hanya berupaya meningkatkan KDNK tetapi juga kesejahteraan insan,” katanya.
SICS julung kali diadakan menampilkan empat komponen utama merangkumi sesi libat urus penjagaan, forum, padanan perniagaan prihatin dan ekspo penjagaan yang melibatkan 54 pempamer termasuk negara luar negara antaranya Finland, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Australia dan India.
Acara tiga hari itu dijangka menarik lebih 3,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang termasuk NGO, persatuan dan universiti.