ad

Selangor sasar bahagian lebih besar dalam pasaran pusat data Asean

10 Okt 2025, 7:28 AM
Selangor sasar bahagian lebih besar dalam pasaran pusat data Asean

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Dasar Pembangunan Ekonomi Tempatan (LED) diperkenal bagi industri pusat data dan infrastruktur digital mendapat bahagian penting dalam pasaran Asean menjelang 2028.

Diunjurkan bernilai sekitar RM47 bilion, dasar itu menurut EXCO Pelaburan Ng Sze Han mencerminkan peranan Selangor sebagai pemacu ekonomi negara dan merealisasikan misi sebagai pencipta inovasi.

“Sebagai kuasa ekonomi Malaysia yang menyumbang 26.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDN) negara, kami faham tanggungjawab untuk memimpin.

“Kita melihatnya pada syarikat pemula (startup) yang membuat padanan niaga, PKS yang mengadaptasi teknologi baharu, dan industri yang mengambil bakat terbaik kita,” katanya.

Beliau berucap sempena pembukaan persidangan kecerdasan buatan (AI) dalam Konvensyen Bandar Pintar & Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Sze Han berkata dasar LED direka untuk meningkatkan penyertaan syarikat Malaysia dalam sektor pusat data yang pesat berkembang, sambil mengekalkan piawaian global.

“Kami menggalakkan pelaburan pusat data baharu memasukkan 30 peratus kandungan tempatan dalam tempoh tiga tahun, dengan tumpuan pada pelayan, storan, peralatan rangkaian, sistem kuasa dan penyejukan, serta penyelesaian tenaga boleh baharu,” katanya.

Semalam, Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dasar LED untuk pusat data dengan sasaran 30 peratus kandungan tempatan dalam tiga tahun.

Beliau berkata dasar itu juga akan mengukuhkan rantaian bekalan, mengurangkan tempoh siap (lead time) dan memperkasa vendor tempatan, sambil mengekalkan piawaian global.

Sementara itu, Sze Han menyatakan pelaksanaan dasar tersebut akan dibuat secara praktikal dan berfasa mengambil kira keupayaan negara yang sedang berkembang.

“Matlamat kami saling menguntungkan — membina rantaian bekalan yang lebih kukuh, mengurangkan tempoh siap dan membangunkan ekosistem tempatan yang berdaya saing tanpa menjejaskan masa operasi, kebolehpercayaan dan keselamatan bertaraf dunia yang tidak boleh dikompromi,” katanya.