KUALA LUMPUR, 10 OKT: Selangor terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju ekonomi digital negara apabila memperkenalkan Dasar Pembangunan Ekonomi Tempatan (Local Economy Development – LED) khusus bagi industri pusat data dan infrastruktur digital.
Langkah strategik itu disasar membantu negeri ini mendominasi sebahagian besar pasaran pusat data Asean yang diunjur mencecah AS$11 bilion (RM47 bilion) menjelang 2028, sekali gus merealisasikan aspirasi Malaysia untuk beralih daripada pengguna teknologi kepada pencipta inovasi.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata dasar tersebut mencerminkan komitmen Selangor sebagai “economic powerhouse” negara yang menyumbang 26.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Kita sedar tanggungjawab untuk memimpin perubahan. Dasar LED ini bukan sekadar menarik pelaburan, tetapi memastikan rakyat dan perusahaan tempatan turut menikmati limpahan manfaatnya,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2025, yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Sze Han, dasar LED menetapkan setiap pelaburan pusat data baharu perlu memasukkan sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan dalam tempoh tiga tahun, meliputi bidang seperti pelayan, storan, sistem kuasa, penyejukan dan tenaga boleh diperbaharui.
“Pelaksanaannya dibuat secara berperingkat dan praktikal, selaras dengan kemampuan semasa industri tempatan. Matlamat kita ialah membina rantaian bekalan kukuh, mengurangkan masa penghantaran dan memperkasakan vendor tempatan, tanpa menjejaskan piawaian global,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (Semiconductor IC Design Park) yang diterajui Perbadanan Ekonomi Digital dan Maklumat Selangor (Sidec) akan menjadi pemangkin utama kepada agenda inovasi negeri.
Melalui Sidec dan Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia (Asem), jurutera tempatan akan dilatih serta pembekal diperakui bagi memperkukuh keupayaan industri tempatan.
“Taman ini kini menjadi hab inovasi aktif yang menghimpunkan 14 syarikat, rakan industri utama dan universiti bagi mempercepatkan pembangunan teknologi semikonduktor di Selangor,” jelasnya.
Sebelum ini, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dasar LED berkenaan sebagai sebahagian strategi negeri untuk memastikan pertumbuhan ekonomi digital yang inklusif dan mampan.