ad

MB: Asean bukan lagi pemain kecil, kukuh kedudukan ekonomi global

10 Okt 2025, 3:08 AM
MB: Asean bukan lagi pemain kecil, kukuh kedudukan ekonomi global
MB: Asean bukan lagi pemain kecil, kukuh kedudukan ekonomi global

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Abad ini berpotensi menjadi “Abad Asean”, dengan peningkatan dalam rantaian industri penting seperti aeroangkasa dan semikonduktor, kata Dato’ Menteri Besar.

Berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-10 UMW, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata anggota Asean melalui usaha dan kerjasama serantau berupaya meneladani kejayaan Eropah menerusi Airbus.

“Dunia kini berada dalam persimpangan dua jalan; satu dipenuhi rasa pesimis dan ketakutan, satu lagi keyakinan terhadap masa depan lebih cerah.

"Jalan kedua inilah yang anda akan lihat di Asia Tenggara, khususnya Selangor, kerana saya benar-benar percaya abad ini boleh menjadi Abad Asean.

“Ini bermakna Asean tidak boleh lagi berpuas hati menjadi pemain kecil dalam ekonomi global,” katanya sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS), semalam.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menggunakan alat kawalan realiti maya ketika melawat reruai pameran Taman Aero Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Amirudin berkata kepakaran Asean yang semakin berkembang dalam penyelenggaraan dan baik pulih (MRO) pesawat mengukuhkan kedudukan rantau ini ke industri bernilai tinggi.

Beliau turut yakin tenaga pakar terbaik Asia Tenggara mampu bergabung membina pesawat komersial di rantau ini, sebagai penanda aras kematangan industri dan keupayaan teknologi Asean.

“Kita tidak perlu mencipta semula roda, tetapi boleh belajar daripada benua lain kerana beberapa negara Asia Tenggara terlibat dalam komponen utama rantaian bekalan MRO pesawat.

“Saya gembira UMW Aerospace menjadi pemain utama sektor ini. Ia melengkapi fokus negeri terhadap pekerjaan masa depan dan industri bernilai tinggi sebagai teras strategi ekonomi kami,” jelasnya.

Beliau menambah Taman Aero Selangor yang dilancarkan Mei lalu menarik minat terhadap kawasan lebih 240 hektar berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, yang akan diperluas secara berperingkat hingga 2028.

“Selangor berbesar hati menjadi rumah anda, dan ketika anda melangkah ke bab kedua bagi 10 tahun akan datang, saya ucapkan yang terbaik kepada seluruh pasukan anda.

"Saya berikan komitmen pentadbiran saya akan menggandakan tumpuan pada industri aeroangkasa kerana kami serius untuk menjadikan Selangor dan Asean hab aeroangkasa sebenar,” tekad Amirudin.