KUALA LUMPUR, 10 OKT: Komitmen terhadap keterangkuman sosial dan pelaburan teknologi tinggi digandakan negeri pada hari kedua Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025, dengan menonjolkan strategi ekonomi dua serampang.
Acara terasnya semalam pelancaran Rangkaian Penjagaan Selangor (Selangor Care Network) dalam Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) yang julung kali diadakan, dengan EXCO Kebajikan Anfaal Saari, meletakkan sektor penjagaan sebagai tiang ekonomi.
“Jika sektor ini diabaikan atau diketepikan, ibu bekerja akan berdepan kesukaran, perlu mengambil cuti, dan itu akan mengganggu piramid ekonomi,” katanya ketika melancarkan sidang penjagaan itu.
Selari dengan dasar ekonomi penjagaan negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi pihak berkuasa tempatan pertama melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025–2030.

Inisiatif itu merangkumi PJ Food With Love, yang menyediakan makanan dan sokongan kepada warga emas yang tinggal bersendirian.
Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berkata pelan tersebut “bukan sekadar pilihan, tetapi keperluan mendesak untuk memastikan kesejahteraan penduduk.”
Di pihak industri, Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengesahkan Pameran Udara Selangor akan kembali pada 2026.
Pameran yang popular dengan paparan statik pesawat itu akan diadakan bergilir tahun dengan Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS) yang lebih menumpukan industri, bagi mengimbangi penglibatan orang ramai dengan platform profesional untuk perbincangan sektor.
Amirudin turut mengumumkan perubahan ketara dalam Belanjawan Selangor 2026 yang bakal dibentangkan, di mana pendidikan menerima peruntukan terbesar buat pertama kali, mengatasi portfolio ekonomi dan kebajikan.

Seiring perubahan tersebut, negeri bercadang memperkenalkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sekolah menengah, bukan sekadar di institusi pengajian tinggi.
Dalam sesi berasingan, EXCO Pelaburan Ng Sze Han, mengesahkan Selangor akan melancarkan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) kedua di Cyberjaya pada 6 November, susulan penghunian penuh taman pertama di Puchong.
Sze Han mengaitkan pelaburan itu secara langsung dengan mobiliti sosial melalui syarat bahawa syarikat di taman kedua “wajib membayar gaji permulaan minimum RM6,000 kepada graduan baharu” bagi mengangkat kelas pertengahan dan mengekalkan bakat dalam menghadapi krisis pendapatan pertengahan serantau.
Beliau turut mempertahankan kemasukan pelaburan asing dalam sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), dengan hujah bahawa walaupun ia menarik bakat melalui gaji lebih tinggi, akhirnya mewujudkan “persaingan sihat” yang mendorong paras gaji tempatan meningkat.
Agenda hari ini merangkumi ucapan Anfaal dan Amirudin mengenai akses ekonomi penjagaan, sebuah forum AI bawah Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor serta majlis makan malam untuk delegasi.