Selangor perluas pembangunan wanita, ekonomi penjagaan jadi pemacu baharu

31 Mac 2026, 8:51 AM
Selangor perluas pembangunan wanita, ekonomi penjagaan jadi pemacu baharu

SHAH ALAM, 31 MAC: Selangor memperluas agenda pembangunan wanita dengan memberi tumpuan kepada ekonomi penjagaan, selain kepimpinan dan keusahawanan sebagai pemacu baharu negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu mencerminkan keperluan semasa masyarakat yang semakin kompleks dan dinamik.

"Evolusi pembangunan wanita di Selangor kini memperlihatkan peralihan kepada ekonomi penjagaan yang semakin signifikan, khususnya dalam aspek penjagaan anak-anak dan keluarga.

"Namun skop ekonomi penjagaan lebih luas apabila kita berdepan realiti masyarakat menua dengan peningkatan jangka hayat penduduk di Selangor," katanya pada Majlis Townhall X Wanita Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Menurut beliau, perkembangan itu menuntut pembinaan jaringan sokongan yang lebih kukuh serta sistem ekonomi penjagaan yang mampan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis Townhall X Wanita Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 31 Mac 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata, Selangor turut menjadi perintis apabila memperkenalkan dasar khusus berkaitan ekonomi penjagaan sejak 2023, sekali gus meletakkan negeri itu di hadapan dalam sektor berkenaan.

"Kita bermula sejak 2023 dengan pendekatan yang bukan sekadar berbentuk seminar atau kertas dasar, tetapi pelaksanaan dasar ekonomi penjagaan yang melibatkan sebahagian besar wanita.

"Malah di peringkat Persekutuan sendiri, belum ada dasar menyeluruh berkaitan ekonomi penjagaan seperti yang telah dilaksanakan di Selangor," katanya.

Tambah beliau, ekonomi penjagaan turut diketengahkan di peringkat antarabangsa termasuk dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) sebagai komponen penting kepada kestabilan ekonomi.

"Kita turut memperkukuh jaringan kerjasama strategik serta mengetengahkan ekonomi penjagaan di platform antarabangsa.

"Ekonomi penjagaan ini dijangka menjadi pemangkin penting kepada kejayaan serta kelestarian ekonomi negara," katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata masih terdapat cabaran terutama dari segi persepsi masyarakat terhadap penglibatan wanita dalam komuniti dan kepimpinan.

"Walaupun kita telah melangkah jauh termasuk melibatkan wanita sebagai ketua komuniti, masih ada persepsi yang perlu diperbetulkan agar penyertaan wanita lebih dihargai.

"Perubahan ini penting supaya wanita terus diberi ruang sewajarnya dalam kepimpinan dan pembangunan masyarakat," ujarnya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) menyaksikan sesi pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) Program IbuNiaga Selangor antara Wanita Berdaya Selangor (WBS) dengan Taylor's University ketika majlis Townhall X Wanita Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 31 Mac 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sebelum itu, Amirudin menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Taylor’s University bagi pelaksanaan Program IbuNiaga untuk wanita B40.

Turut dimeterai MoU antara WBS dan The Asia Foundation bagi pelaksanaan Program Latihan Penjagaan yang memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran, peluasan peluang ekonomi serta profesionalisme sektor penjagaan.

Inisiatif tersebut selari dengan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor 2024–2030 yang mengangkat sektor penjagaan sebagai bidang bernilai tinggi serta tanggungjawab bersama masyarakat.

Kerjasama strategik itu mencerminkan pendekatan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pembangunan wanita secara menyeluruh merangkumi kepimpinan, keusahawanan, kemahiran masa hadapan serta kesejahteraan komuniti dan keluarga.

Sehubungan itu, Amirudin menegaskan usaha memperkasa wanita akan terus diperkukuh.

"Platform seperti Townhall ini penting untuk memperkukuh program wanita serta membuka ruang kerjasama strategik yang lebih luas demi manfaat rakyat.

"Kerjasama ini juga akan memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi kesan kepada kesejahteraan wanita dan keluarga di Selangor," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.