SHAH ALAM, 9 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan zakat dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencecah RM1 juta menjelang 2026.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari berkata sasaran itu diyakini mampu dicapai menerusi sambutan menggalakkan dalam program potongan gaji zakat yang diperkenalkan kepada warga ATM di seluruh Selangor.
Menurutnya, LZS merekodkan kutipan RM425,000 tahun ini dengan penyertaan 393 anggota aktif.
“Dianggarkan seramai 3,718 warga ATM berkhidmat di Selangor. Jika setiap seorang menyumbang sekurang-kurangnya RM10 sebulan, mereka bukan sahaja menunaikan kewajipan agama malah bergelar Hero Asnaf.

“Saya yakin sasaran RM1 juta tidak mustahil dicapai sekiranya anggota sedia ada menambah jumlah caruman, di samping lebih ramai rakan setugas menyertai skim ini,” katanya ketika berucap pada Program Anda Hero Asnaf: Ayuh Berzakat Warga ATM di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam hari ini.
Mohd Khaidzir berkata, daripada sasaran itu, sekitar RM125,000 potensi wakalah majikan akan digunakan untuk pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan dan kerohanian warga ATM.
Dalam majlis sama, LZS turut memperkenalkan dua kategori potongan zakat iaitu Wira Prihatin dengan sumbangan serendah RM10 sebulan dan Wira Harapan dengan sumbangan RM50 sebulan, bagi memberi pilihan mengikut kemampuan masing-masing.
Program berkenaan turut menyaksikan penyerahan wakalah majikan kepada ATM berjumlah RM53,000 yang diagihkan kepada sembilan formasi pasukan ATM terpilih di Selangor bagi pelaksanaan pelbagai program kebajikan dan kerohanian anggota.