BENTONG, 9 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan kira-kira 2.1 juta kenderaan akan berada di jalan raya seluruh negara bermula 18 Oktober ini, sempena cuti perayaan Deepavali.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh itu, Op Lancar sempena cuti perayaan Deepavali akan dilaksanakan bermula 17 hingga 21 Oktober.
“Fokus operasi adalah untuk memastikan aliran trafik lancar, terutama di lebuh raya, jalan bandaran dan jalan persekutuan selain kawasan tumpuan pelancongan.
“JSPT juga akan segera membantu pengguna jalan raya yang terlibat dalam kemalangan bagi mengelak kesesakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program menembak bersama media di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Bentong, di sini hari ini.
Perayaan Deepavali akan disambut pada 20 Oktober.
Mohd Yusri berkata 500 anggota JSPT akan ditugaskan di seluruh negara, meliputi lebuh raya utama, jalan persekutuan, jalan bandaran serta lokasi hotspot trafik dalam tempoh tersebut.
Beliau berkata pihaknya juga menunggu arahan lanjut daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung larangan perjalanan kenderaan perdagangan di lebuh raya utama sepanjang cuti perayaan itu.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan cuti tambahan sekolah antara satu hingga dua hari, menjadikan tempoh cuti panjang antara lima hari bagi murid di Semenanjung dan empat hari bagi murid di Sarawak, bermula 17 hingga 22 Oktober.
- BERNAMA