ad

ATM agensi awam pertama berpotensi capai 100 peratus buat potongan zakat

9 Okt 2025, 8:20 AM
ATM agensi awam pertama berpotensi capai 100 peratus buat potongan zakat
ATM agensi awam pertama berpotensi capai 100 peratus buat potongan zakat

SHAH ALAM, 9 OKT: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpotensi menjadi agensi pertama sektor awam yang mencapai 100 peratus penyertaan dalam skim potongan gaji untuk bayaran zakat.

Bagi mencapai potensi itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata akan lebih proaktif menyampaikan maklumat bagi membantu pasukan itu seluruh negeri.

Menurut Mohd Khaidzir Shahari, pihaknya juga akan berkongsi kefahaman dan membimbing anggota secara lebih dekat supaya urusan pembayaran zakat dapat dilakukan dengan teratur dan telus.

"Sebagaimana anggota menjadi benteng pertahanan negara, zakat pula adalah benteng kebajikan masyarakat.

"Bagi memastikan bantuan ini berterusan, LZS sangat memerlukan sokongan daripada semua anggota yang bukan sahaja menjaga keamanan negara, malah kini diberi peluang untuk menjaga kebajikan umat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program “Anda Hero Asnaf” Ayuh Berzakat Warga ATM di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari bercakap kepada media selepas Program “Anda Hero Asnaf” Ayuh Berzakat Warga ATM di Auditorium Dahlia Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam pada 9 Oktober 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Menurut Mohd Khaidzir lagi, program yang dijalankan ini bukan sekadar untuk meningkatkan kutipan zakat, malah membina jati diri dan menyuburkan kesedaran sosial dalam kalangan anggota ATM.

"Setiap kutipan zakat yang diperolehi melalui potongan gaji akan memberi nafas kehidupan kepada golongan fakir miskin, pelajar yang susah dan insan yang diuji dengan penyakit kronik.

Program “Anda Hero Asnaf” Ayuh Berzakat Warga ATM yang dihadiri 400 pegawai dan anggota ATM Selangor merupakan inisiatif berimpak tinggi hasil kerjasama strategik di antara LZS dan Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT).