ad

Taman reka bentuk litar bersepadu kedua dilancar 6 November

9 Okt 2025, 8:17 AM
Taman reka bentuk litar bersepadu kedua dilancar 6 November
Taman reka bentuk litar bersepadu kedua dilancar 6 November

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Taman reka bentuk litar bersepadu (IC) kedua di Cyberjaya akan dilancarkan pada 6 November, kata EXCO Pelaburan Ng Sze Han.

Jelasnya, taman reka bentuk pertama disewa sepenuhnya 12 syarikat, manakala taman kedua dilancarkan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“Sekarang kita ada 12 syarikat reka bentuk IC, dan kita akan lancarkan taman kedua pada 6 November di Cyberjaya,” katanya dalam forum bawah Sidang Perniagaan Asean Selangor (SABC) di sini, hari ini.

Taman reka bentuk pertama, yang dilancarkan Ogos tahun lalu di Puchong dengan keluasan lebih 5,500 meter persegi, menempatkan pemain semikonduktor global termasuk MaiStorage, Skyechip, Weeroc, AppAsia ChipsBank dan SensoremTek Sdn Bhd.

Sebelum ini, Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyatakan komitmen negeri menyalurkan antara RM5 hingga RM10 juta setahun selama 10 tahun bagi membangunkan rantaian nilai semikonduktor bahagian hadapan yang melibatkan reka bentuk cip.

Sze Han berkata penerokaan dan pelaburan industri bernilai tinggi berpusat di Selangor bagi menawarkan gaji permulaan yang baik kepada graduan baharu dan mengangkat golongan menengah.

“Ini salah satu syarat yang kita tetapkan untuk IC. Syarikat yang ingin menyertai mesti membayar gaji permulaan minimum RM6,000 kepada graduan baharu.

“Kami percaya industri ini mampu menampungnya, dan cabaran yang kita hadapi di rantau ini - selain Singapura - ialah krisis pendapatan pertengahan. Jadi persoalannya, bolehkah kita menaikkan pendapatan pertengahan untuk mengekalkan bakat di rantau ini?” tambahnya.

Dengan sokongan kerajaan persekutuan bawah Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS), Sze Han menegaskan kestabilan politik dan kerjasama dengan negeri penting untuk keyakinan pelabur.

Sementara itu, beliau berkata pemain aeroangkasa tempatan, khususnya dalam sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), tidak perlu bimbang mengenai kemasukan syarikat asing.

Meskipun ada rungutan firma asing menarik bakat terbaik dengan gaji lebih tinggi, katanya, keadaan itu mewujudkan persaingan sihat, menaikkan gaji, dan membantu negeri menangani perangkap pendapatan pertengahan.

“Jika kita tidak mempunyai kemudahan MRO asing atau pelabur asing dalam kemudahan MRO, kumpulan jurutera berbakat ini mungkin mencari peluang lebih baik di luar negara.

“Apabila pelabur luar melabur dalam sektor MRO di Malaysia, mereka boleh menawarkan gaji sedikit lebih tinggi berbanding pemain tempatan… (ini boleh) meningkatkan paras gaji, sekurang-kurangnya bagi kelas pertengahan, untuk mengatasi krisis pendapatan pertengahan,” katanya.

SABC dianjurkan bawah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sehingga Sabtu.