SHAH ALAM, 23 SEPT: Kerajaan Negeri Selangor terus mengorak langkah strategik bagi menempatkan diri sebagai hab utama industri litar bersepadu (IC) di rantau ini.
Dato Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan iltizam Kerajaan Negeri itu selepas mengadakan pertemuan bersama firma pelaburan China Fortune-Tech Capital (CFTC) di Shanghai, hari ini.
“Sebelum meninggalkan Shanghai, saya sempat bertemu China Fortune-Tech Capital (CFTC), sebuah firma pelaburan yang memberi fokus kepada industri litar bersepadu dari reka bentuk IC hingga bahan dan peralatan sokongan dengan jumlah aset melebihi RMB3 bilion,” katanya.
Pertemuan tersebut menumpukan kepada usaha mengembangkan industri semikonduktor serta memacu pembangunan Taman Reka Bentuk IC Selangor sebagai hab yang menyatukan bakat tempatan, penyelidikan dan syarikat global.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja melengkapi usaha negara dalam memperkukuh rantaian nilai semikonduktor, malah mempercepat peluang komersial kepada syarikat pemula dalam bidang reka bentuk IC,” jelasnya.
Selangor telah melancarkan taman reka bentuk IC pertama di Puchong pada 2024 dan bakal melancarkan taman kedua di Cyberjaya pada November ini.
Selain aspek pelaburan, perbincangan turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan melalui penubuhan Advanced Semiconductor Academy (ASEM) dan pelaksanaan program latihan teras.
Program itu bakal menjamin bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh syarikat IC serta industri mikroelektronik, sekali gus mengukuhkan daya saing Selangor di peringkat global.
Dato’ Seri Amirudin berkata, keupayaan menyediakan tenaga mahir akan menjadi pemangkin kepada pelaburan langsung asing (FDI) berteknologi tinggi dan mempercepatkan pemindahan teknologi ke negeri ini.
Tambah beliau, potensi kerjasama dengan CFTC juga membuka peluang pertukaran pengetahuan dan kepakaran dalam ekosistem semikonduktor, termasuk pembangunan rangkaian pembekal tempatan.
“Jika direalisasikan, pelaburan ini akan memberi manfaat langsung kepada rakyat menerusi peluang pekerjaan bernilai tinggi, latihan teknikal untuk graduan serta limpahan ekonomi kepada usahawan tempatan,” katanya.
Beliau optimis bahawa segala usaha ini akan mengangkat Selangor sebagai peneraju industri semikonduktor serantau dalam masa terdekat.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus berusaha keras untuk menempatkan Selangor di barisan hadapan industri IC di rantau ini,” tambahnya lagi.
Amirudin berada di China bagi misi perdagangan dan pelaburan untuk meneroka potensi pelaburan dan kerjasama sehingga 30 September ini. Delegasi turut disertai EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han; Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Dato’ Ts. Saipolyazan M Yusop; Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Haji Idris; dan Ketua Pegawai Eksekutif SIDEC, Yong Kai Ping.