KUALA LUMPUR, 9 OKT: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor disaran mengadaptasi pendekatan pelaburan strategik ke arah memperkukuh potensi Selangor sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata antara inisiatif boleh diadaptasi langkah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjenamakan semula unit pelaburannya kepada Invest PJ dan memperluas skop projek kerjasama awam-swasta (PPP) sehingga berjaya menarik nilai pelaburan diluluskan, mencecah RM6.01 bilion merangkumi 31 projek dan 3,299 peluang pekerjaan tahun lalu.
Jelasnya, langkah MBPJ menjenamakan semula unit pelaburannya kepada Invest PJ dan memperluas skopnya untuk menerajui projek PPP adalah manifestasi jelas falsafah Speed Selangor di peringkat PBT.
“Selain itu, pelancaran Garis Panduan Tatacara Pelaksanaan Projek PPP oleh MBPJ sangat penting kerana ia bukan sekadar dokumen tetapi ia komitmen agensi itu untuk mewujudkan sebuah ekosistem pelaburan yang telus, cekap dan berintegriti.

“Dengan kerangka kerja yang jelas dan tersusun, kita dapat memudah cara proses, mengurangkan halangan birokrasi dan meningkatkan keyakinan pelabur.
“Sekali gus menarik lebih banyak projek PPP berimpak tinggi yang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi tetapi juga memberikan manfaat langsung kepada warga Petaling Jaya melalui pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berucap pada majlis penghargaan pelaburan Petaling Jaya, peluncuran Garis Panduan Tatacara dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) pelaksanaan Projek Kerjasama Awam-Swasta (PPP) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Sementara itu, Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berkata Unit Pelaburan di Jabatan Perancangan Pembangunan, MBPJ ditubuhkan pada 2020 untuk menggalakkan dan menjana pertumbuhan ekonomi PBT yang berterusan serta menerokai peluang pelaburan berasaskan potensi dan prospek ekonomi tempatan.
Jelasnya, tahun lalu unit itu dijenamakan semula kepada Invest PJ dengan slogan ‘connecting opportunities, strengthening the economy’ dan menyifatkan pendekatan itu penting bagi memperkukuhkan imej profesional dan mudah dikenali di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Selain memudahcara urusan kelulusan pelan pembangunan bagi projek pelaburan, bidang tugas Invest PJ telah diperluas kepada pengurusan pelaksanaan projek PPP,” katanya.

Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Selangor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama negara apabila mencatatkan pelaburan diluluskan kira-kira RM35 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Tengku Zafrul berkata, pencapaian itu menunjukkan keberkesanan dasar pelaburan serta keupayaan Selangor menarik pelaburan berkualiti tinggi yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.