ad

Perjuangan tanpa noktah Sumud Flotilla

10 Okt 2025, 3:00 AM
Perjuangan tanpa noktah Sumud Flotilla

Apabila satu dunia makin teguh bersolidariti dan bertambah kesedaran tentang Palestin menerusi gerakan Sumud Flotilla, maka cukuplah itu menjadi bukti kejayaan gerakan ini. Kita terus berdoa yang terbaik buat para pemberani berjiwa mulia dalam kapal-kapal yang mula diambil tindakan oleh puak zionis.

Saya juga terbaca beberapa komen oleh golongan terpelajar termasuk dari bidang agama yang mempersoal kewajaran Sumud Flotilla ini atas alasan bahaya dan tidak akan dapat memberi bantuan. Malah ada yang menyarankan agar pada waktu mendatang para mufti melarang tindakan menyertai gerakan ini.

Dakwaan itu tiada pandangan baharu pun kerana saya percaya semua tahu bahawa kapal-kapal itu memang berkemungkinan tinggi akan dipintas oleh Israel. Namun, ada pelbagai agenda lain yang lebih penting untuk dicapai pihak Sumud Flotilla.

Agenda besar

Antaranya ialah usaha berterusan untuk memecahkan kepungan rejim haram terhadap Gaza, menyedarkan masyarakat global tentang kepungan ini, mengecam pihak-pihak antarabangsa yang terlibat dalam kepungan ini dan juga salah satu tanda solidariti serius masyarakat antarabangsa terhadap perjuangan Gaza.

Gerakan global yang bermula sejak 2008 ini juga menjadikan isu Gaza sebagai isu kemanusiaan yang merentas agama, kaum dan negara. Fitrah dan akal manusia secara umumnya boleh membezakan antara baik dan buruk kepada manusia, setidak-tidaknya dalam hal-hal yang utama seperti kepentingan ilmu dan keburukan kejahilan, keutamaan keadilan dan bahaya kezaliman.

Terlalu banyak panduan wahyu yang menekankan soal perjuangan menegakkan keadilan dan menentang penindasan. Malah, ada satu contoh sirah yang menarik kerana ia berlaku sebelum Nabi Muhammad SAW diutus menjadi Rasul. Maksudnya, sebelum diturunkan wahyu, Nabi SAW yang berperibadi mulia telah terlibat dalam perjuangan melawan kezaliman bergelar Hilf al-Fudul.

Hilf al-Fudul

Hilf al-Fudul ialah perjanjian yang disaksikan oleh Nabi SAW sebelum Baginda diutuskan sebagai rasul. Perjanjian itu dimeterai untuk mempertahankan hak seorang lelaki berketurunan al-Zubaydi yang dinafikan haknya oleh pembesar Quraish, al-‘As bin Wa’il. Lelaki ini datang ke Makkah dengan barang dagangannya, lalu al-‘As bin Wa’il membeli barangannya, tetapi menafikan haknya.

Lelaki al-Zubaydi itu pun meminta pertolongan para pembesar Quraish, tetapi mereka enggan membantunya kerana kedudukan al-‘As. Lelaki itu pun merayu bantuan penduduk Makkah dan meminta tolong daripada setiap yang bermaruah. Hal ini membangkitkan perasaan kelompok bermaruah untuk membantu lelaki itu, lalu mereka berhimpun di rumah ‘Abdullah bin Jad’an.

Mereka mengikat perjanjian atas nama Allah untuk bersatu tenaga bersama mangsa penindasan untuk mendesak penindas memulangkan haknya. Golongan Quraish menamakan perjanjian ini sebagai Hilf al-Fudul. Kemudian mereka pergi menemui al-‘As bin Wa’il, lalu mengambil daripadanya hak lelaki al-Zubaydi itu dan seterusnya memulangkan kepadanya.

Baginda sangat suka perjanjian ini termasuklah setelah Baginda diutuskan sebagai Rasul. Baginda berkata

“Jika aku diajak untuk menyertai perjanjian seumpamanya pada zaman Islam, pasti aku sahut. Berpakatlah untuk memulangkan hak kepada ahlinya dan agar penindas tidak menzalimi mana-mana mangsa.” (Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi, Fiqh Sirah, 1989)

Bayangkan, Baginda memuji perjanjian yang dibuat sebelum Baginda dilantik menjadi Rasul. Para peserta perjanjian itu tentu sekali bukan Muslim kerana Baginda belum menjadi Rasul. Pujiannya itu bererti mengiktiraf tanggungjawab sejagat manusia untuk menegakkan keadilan dan menentang penindasan.

Perjuangan masyarakat

Sebagai satu pelaksanaan semangat Hilf al-Fudul zaman ini, Sumud Flotilla juga menyedarkan kita bahawa tanggungjawab mempertahankan hak warga yang tertindas termasuk menerusi subahat negara-negara besar ini tidak jatuh hanya di bahu negara sahaja. Selain negara, wujud masyarakat sivil dan individu yang boleh memainkan peranan.

Misalnya, pertubuhan bukan kerajaan sama ada peringkat nasional mahupun antarabangsa juga boleh memberi teguran dan kritikan. Contohnya peranan yang boleh dimainkan oleh badan-badan kajian atau pemantau hak-hak asasi manusia.

Sekali lagi, pendekatan ini tidak terhad hanya kepada negara atau dunia Islam semata-mata. Misalnya gerakan melawan Apartheid di Afrika Selatan secara umumnya digerakkan oleh agensi-agensi bukan kerajaan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Contohnya Anti-Apartheid Movement (AAM) yang berpangkalan di Britain adalah badan bukan kerajaan yang mempelopori gerakan boikot pengguna terawal terhadap ekonomi Afrika Selatan sebelum Perhimpunan Agung PBB meluluskan Resolusi 1761 yang menyeru sekatan ekonomi ke atas Afrika Selatan pada 1962.

Sekarang ini banyak juga gerakan yang mengambil pendekatan sama bagi menekan Israel dan Rusia dalam isu genosid di Palestin dan peperangan Rusia-Ukraine baru-baru ini. Sumud Flotilla juga termasuk dalam perjuangan besar ini. Justeru usah pesimis jika bantuan tidak sampai atau kapal-kapal dipintas rejim haram kerana memang itu antara tanda kejayaan Sumud Flotilla.