SHAH ALAM, 12 APRIL: Malaysia muncul sebagai satu-satunya negara yang menghantar perwakilan rasmi dengan sokongan menyeluruh dalam Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, sekali gus mencerminkan komitmen tegas negara terhadap perjuangan Palestin.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penglibatan Malaysia tidak terhad kepada penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sebaliknya dilaksanakan secara rasmi dengan dukungan penuh pelbagai pihak.

“Malaysia hadir bukan sekadar melalui NGO, tetapi sebagai satu-satunya negara yang menghantar perwakilan secara rasmi yang disokong secara menyeluruh. Ini membuktikan kesungguhan dan komitmen Malaysia dalam menuntut pembebasan Palestin,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Amirudin meninjau sendiri persiapan kelengkapan kapal-kapal pasukan Malaysia di Port Vell, Barcelona yang akan berlepas dalam misi kemanusiaan tersebut.

Beliau turut memaklumkan pertemuan dengan delegasi dari Indonesia yang menyatakan sokongan terhadap misi berkenaan, selain menyifatkan penyertaan peserta dari seluruh dunia sebagai bukti bahawa solidariti kemanusiaan terhadap Gaza terus kukuh.
“Kehadiran peserta dari seluruh dunia membuktikan bahawa suara kemanusiaan masih hidup dan Gaza tidak pernah dibiarkan bersendirian,” katanya.
Amirudin turut menyeru rakyat Malaysia agar terus mendoakan kejayaan serta keselamatan semua peserta yang terlibat dalam misi tersebut.










