ad

Selangor sokong Asean kukuhkan pelaburan rentas sempadan

9 Okt 2025, 5:41 AM
Selangor sokong Asean kukuhkan pelaburan rentas sempadan

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Selangor berhasrat membantu Asean memperkukuh pelaburan rentas sempadan dengan mempertingkat keterhubungan rantaian bekalan dan pelaksanaan inovasi berterusan.

Ketua pegawai eksekutif Invest Selangor Berhad berkata beberapa isu utama yang bakal membentuk hala tuju Asean dikenal pasti melalui Sidang Kemuncak Perniagaan Asean Selangor (SABC) 2025.

Menurut Dato’ Hasan Azhari Idris, ketidaktentuan ekonomi global sehinggalah gangguan teknologi menuntut solidariti serantau dan tindakan kolektif untuk menentukan masa hadapan Asean.

“Inilah yang cuba dipacu SABC 2025. Sepanjang dua hari lalu, kami menghimpunkan pemimpin kerajaan, industri dan ahli akademik untuk membincangkan isu yang akan membentuk trajektori Asean,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam pembukaan persidangan berkenaan yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Hasan menambah perbincangan itu merangkumi pengurusan landskap geopolitik dan teknologi yang sentiasa berubah, serta memperkasa generasi baharu penginovasi dan usahawan Asean.

Beliau turut merujuk kenyataan Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung komitmen Selangor untuk memajukan industri bernilai tinggi termasuk semikonduktor dan aeroangkasa.

“Sejajar aspirasi kelestarian Malaysia yang lebih luas, Selangor semalam melancarkan Agenda Ekonomi Hijau Selangor (SAGE), dan tidak lama lagi diikuti Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

“Inisiatif ini akan memperdalam komitmen kami terhadap tenaga hijau, mobiliti mampan dan inovasi,” katanya menambah ia akan mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai negeri berdaya saing.

Pada masa sama, Hasan menyatakan Selangor terus berperanan peranan penting dalam memacu ekonomi Malaysia dengan menyumbang kira-kira satu perempat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

Prestasi kukuh itu disokong infrastruktur utama seperti Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebagai pintu masuk utama perdagangan, keterhubungan dan pelaburan global.

Selain infrastruktur, jelasnya, dasar progresif dan bakat kerja berkemahiran turut menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negeri, mengangkat Selangor sebagai hab utama dalam landskap tersebut.

“Peranan Invest Selangor ialah memudahkan hubungan ini, dengan menterjemah idea kepada tindakan dan menjadikan kerjasama sebagai kemajuan.

“Kami kekal komited menyokong pelabur, pemain industri dan kerajaan. Usaha ini akan membina Asean yang lebih kuat, inklusif dan mampan,” katanya.