Invest Selangor giat tarik pelabur, fokus industri berteknologi tinggi

22 Apr 2026, 4:00 AM
Invest Selangor giat tarik pelabur, fokus industri berteknologi tinggi

SHAH ALAM, 21 APRIL: Invest Selangor giat merangka pelbagai inisiatif strategik bagi menarik lebih ramai pelabur sekali gus merancakkan pertumbuhan industri perkilangan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hasan Azhari Idris berkata tumpuan turut diberikan kepada pembangunan industri berteknologi tinggi yang mampu memperkukuh ekosistem perindustrian Selangor.

“Kita telah merangka pelbagai program tahun ini sebenarnya. Kita akan meneruskan sesi libat urus dengan industri dalam pelbagai bentuk dan menyambung usaha-usaha promosi menggalakkan pelaburan.

“Khususnya mempromosikan sektor perkilangan bersama dengan pemaju-pemaju kawasan perindustrian sedia ada.

“Kita telah merangka program-program khusus pada tahun ini, antaranya adalah program promosi pelaburan bersama pemaju-pemaju kawasan perindustrian di China dan di Singapura pada tahun ini,” katanya kepada Media Selangor.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan rasa gembira dengan pelaburan yang diterima Kerajaan Negeri dan berharap sektor perkilangan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, Baginda menerima maklum aktiviti ekonomi di Selangor mencatatkan pelaburan RM83.9 bilion, iaitu melebihi sasaran RM65 bilion dengan peningkatan sebanyak RM18.9 bilion pada tahun lalu.

Baginda turut menzahirkan keyakinan terdapat potensi besar untuk memperluaskan sektor perkilangan dan pembuatan yang kini menyumbang 21.6 peratus kepada ekonomi negeri, khususnya melalui pelaburan baharu dalam bidang berteknologi tinggi.

Justeru Baginda menegaskan, inisiatif Speed Selangor perlu dipertingkatkan bagi memudahkan urusan perniagaan sekali gus mampu mengoptimumkan pelabur ke Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.