ad

Tiada ruang untuk lalai: Selangor rangka strategi pascalonjakan teknologi tinggi

9 Okt 2025, 1:01 AM
Tiada ruang untuk lalai: Selangor rangka strategi pascalonjakan teknologi tinggi
Tiada ruang untuk lalai: Selangor rangka strategi pascalonjakan teknologi tinggi

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Selangor tidak lagi mahu berpuas hati dengan gelaran sebagai pemacu utama ekonomi Malaysia.

Menerusi pembukaan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 semalam, kerajaan negeri memperkenalkan visi baharu yang melangkaui pencapaian domestik, dengan tumpuan untuk merebut peluang di pasaran serantau ASEAN yang memiliki 680 juta penduduk.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa negeri itu tidak boleh leka dan perlu terus menyesuaikan diri agar kekal mendahului dalam ekonomi global yang semakin tidak menentu.

“Selangor akan membuka dua bidang baharu tumpuan, iaitu sektor rel dan sains hayat. Kedua-duanya penting — satu bagi memperluas penggunaan pengangkutan awam, dan satu lagi bagi persediaan menghadapi masyarakat yang semakin menua,” katanya ketika berucap di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sempena acara empat hari itu.

Pemangkin Pertumbuhan

Majlis pembukaan yang disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut menyaksikan pelancaran dua dasar utama negeri yang dijangka mengubah landskap pelaburan dan pembangunan industri di Selangor.

Dasar pertama, Selangor’s Agenda for Green Economy (SAGE), merupakan rangka kerja tiga jilid yang merangkumi tenaga bersih, ekonomi kitaran dan mobiliti hijau — mencerminkan komitmen negeri terhadap keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Dasar kedua pula, Speed Selangor, menumpukan kepada pengurangan kerenah birokrasi dengan mempercepat kelulusan pelaburan di pihak berkuasa tempatan daripada 3.5 bulan kepada hanya sembilan hari.

Turut hadir menyaksikan pelancaran tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Fadillah dalam ucapannya memuji usaha Selangor sebagai negeri contoh yang berjaya menyelaras kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menarik pelaburan serta memperkukuh daya tahan ekonomi.

“Selangor bukan beroperasi secara bersendirian. Ia pemacu transformasi ekonomi Malaysia dan penyumbang utama kepada masa depan ASEAN.

Apabila Selangor membangun, Malaysia makmur; apabila Malaysia makmur, ASEAN berdiri lebih teguh,” katanya.

Inovasi Untuk Kelestarian

Selangor turut melancarkan Program Taman Perindustrian Pintar Berteknologi IoT (IEIP), iaitu pelan transformasi bagi 17 taman perindustrian menjadi hab pintar dan lestari dilengkapi teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT), rangkaian 5G, kecerdasan buatan (AI) serta kemudahan utiliti pintar.

“IEIP ialah pelan hala tuju untuk membangunkan taman perindustrian pintar yang bersedia menerima pelabur, berasaskan teknologi dan mesra alam,” kata EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Infrastruktur Digital, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Pada masa sama, sempena Ekspo Pelaburan dan Taman Perindustrian Selangor (SPARK) 2025, kerajaan negeri turut melancarkan Kertas Putih Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) bagi mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai destinasi utama perkhidmatan kongsi dan penyumberan luar di rantau ini.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, program pembangunan bakat khusus untuk sektor GBS akan diperkenalkan tahun depan bagi memanfaatkan kelebihan tenaga kerja pelbagai bahasa di Selangor serta menampung jurang kemahiran yang wujud.

Teknologi Air dan Ekonomi Penjagaan

Selain dasar dan polisi baharu, SIBS 2025 turut menampilkan inovasi sebenar. Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperkenalkan mesin Kitar Semula Air Mikro (Micro WRP) yang direka khas untuk sektor pembuatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Dato’ Saipolyazan M Yusop, teknologi tersebut yang dikendalikan anak syarikat Air Lestari Sdn Bhd mampu membersihkan dan mengitar semula antara 70 hingga 80 peratus air sisa kilang.

SIBS tahun ini menampilkan kelainan dengan memberi tumpuan kepada sektor baharu seperti ekonomi penjagaan (care economy) dan aeroangkasa, seiring usaha Selangor mempelbagaikan asas ekonominya.

Buat julung kalinya, Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) dianjurkan, menghimpunkan penyelidik, akademik dan pemain industri bagi membincangkan hala tuju sektor sains hayat dan penjagaan warga emas — kesinambungan kepada Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor 2024–2030 yang dilancarkan tahun lalu.

Turut diperkenalkan ialah Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS) yang diberi nafas baharu, menggantikan acara Selangor Aviation Show dengan format baharu berbentuk ekspo dan persidangan tertutup tanpa pameran pesawat statik.

SIBS 2025 yang berlangsung hingga Sabtu ini turut mengekalkan empat segmen utama: Ekspo F&B Antarabangsa Selangor, SPARK, Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC), serta Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC).

Kerajaan negeri menyasarkan nilai potensi urus niaga melebihi RM13.86 bilion yang dicatat tahun lalu serta kehadiran lebih 50,000 pengunjung.

Agenda hari kedua hari ini bakal menampilkan sesi dialog bersama Dato’ Menteri Besar mengenai sektor aeroangkasa, pelancaran rasmi SICS oleh EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan, Anfaal Saari, serta sesi pembukaan dan penutupan SABC.