KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Potensi pelaburan dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 dijangka berdepan cabaran susulan pengenaan tarif baharu oleh Amerika Syarikat (AS).
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata langkah itu menyebabkan syarikat-syarikat mengambil pendekatan tunggu dan lihat bagi memastikan pelaburan yang dibuat benar-benar berkualiti.
“SIBS antara program yang sering dinanti-nantikan kerana mampu menarik pelabur berkualiti ke Selangor. Namun nilai transaksi belum dapat dipastikan kerana tarif dikenakan pada sesetengah barangan.
“Syarikat sedang menunggu perkembangan selepas tarif dikenakan, tetapi pendekatan ini tidak akan terlalu lama kerana mereka tetap perlu meneruskan perniagaan… kita akan lihat dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Remaja Kinrara 2025 di Taman Rekreasi Wawasan, malam tadi.
SIBS 2025 akan berlangsung pada 8 hingga 11 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bertujuan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab ekonomi Malaysia dan pintu gerbang Asean.
Acara tahun ini dijangka menarik kehadiran 50,000 pelawat dengan menampilkan dua segmen baharu, iaitu Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor dan Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS), yang sebelum ini dikenali sebagai Pameran Udara Selangor.
Selain itu, SIBS turut mengekalkan beberapa acara utama seperti Ekspo Makanan dan Minuman Antarabangsa Selangor, Ekspo Taman Pelaburan dan Perindustrian Selangor, Persidangan Perniagaan Selangor Asean serta Konvensyen Ekonomi Digital dan Bandar Pintar Selangor.
Tahun lalu, SIBS 2024 yang julung kali diadakan dalam dua siri (Julai dan Oktober) mencatat nilai transaksi RM13.86 bilion, lebih dua kali ganda berbanding RM6.12 bilion pada 2023.