Konflik Asia Barat: Selangor semak unjuran pelaburan antarabangsa

23 Apr 2026, 6:37 AM
Konflik Asia Barat: Selangor semak unjuran pelaburan antarabangsa

SHAH ALAM, 23 APRIL: Kerajaan Selangor sedang meneliti semula unjuran pelaburan antarabangsa susulan ketidaktentuan ekonomi global yang berpunca daripada konflik di Asia Barat ketika ini.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata perkembangan konflik tersebut memberi kesan signifikan memandangkan negeri ini berperanan sebagai hab utama pembuatan dan logistik negara.

EXCO Pelaburan Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berucap ketika Mesyuarat pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang kelima Belas di Shah Alam pada 21 April 2026. Foto ADIBAH IZAM/MEDIA SELANGOR

“Dengan sumbangan sebanyak 26.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar sebarang gangguan global akan memberi kesan langsung terhadap prestasi perdagangan negeri.

“Berikutan itu, Kerajaan Negeri sedang menyemak kembali angka-angka pelaburan antarabangsa. Namun, terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan pada waktu ini,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong Ong Chun Wei berhubung kesan konflik Asia Barat terhadap prestasi perdagangan negeri.

Dalam masa sama, Sze Han berkata Kerajaan Negeri turut menggalakkan syarikat tempatan untuk meningkatkan daya saing serta memperluas kapasiti pelaburan ke peringkat antarabangsa bagi memastikan ketahanan ekonomi jangka panjang.

Menurutnya, usaha memperkukuh daya tahan syarikat turut disokong menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Bandung, Indonesia pada Julai depan.

“Banyak syarikat di Selangor ada kapasiti kuat daripada segi tenaga dan teknologi dalam menceburi pasaran antarabangsa. Oleh itu, Invest Selangor anjurkan SIBS di Bandung, Indonesia Julai depan supaya syarikat-syarikat di Selangor perluas pasaran lebih besar,” katanya.

SIBS merupakan program anjuran Invest Selangor yang bakal memperluas jejak serantaunya menerusi penganjuran edisi sulung SIBS@ASEAN di Bandung pada 9 dan 10 Julai nanti.

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd Dato’ Hasan Azhari Idris berkata pemilihan Bandung sebagai lokasi penganjuran dibuat berdasarkan profil ekonominya yang hampir menyerupai peranan Selangor sebagai pemacu utama ekonomi negara.

Sebanyak 50 syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (IKS) akan dibawa menyertai SIBS@ASEAN bagi meneroka peluang ekonomi lebih luas di peringkat serantau.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.