SHAH ALAM, 8 OKT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan RM3 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 200 sekolah berasrama penuh di bawah kendaliannya.
Timbalan Menterinya Wong Kah Woh berkata mula dipasang pada 13 Oktober ini, ia bertujuan meningkatkan tahap keselamatan serta membendung gejala buli dalam kalangan pelajar.
"Lokasi pemasangan dikenal pasti berdasarkan nasihat Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO). KPM juga menjalankan lawatan mengejut ke asrama bagi memastikan pematuhan terhadap garis panduan keselamatan.
"Lawatan ini dilaksanakan termasuk pada waktu malam, melibatkan pengurusan tertinggi KPM, pengarah pendidikan negeri serta pegawai pejabat pendidikan daerah (PPD)," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali berhubung langkah menangani peningkatan kes buli di sekolah termasuk mekanisme pencegahan, pengawasan, intervensi awal dan tindakan ke atas pelaku serta pihak pentadbiran yang cuai.
Menurut Wong, KPM turut melaksanakan pelbagai inisiatif pencegahan secara komprehensif termasuk Saringan Minda Sihat bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesejahteraan diri dan kesihatan mental.
Jelasnya, KPM turut melantik Duta Sahsiah, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan pemimpin murid yang berperanan sebagai teladan dan pembimbing kepada rakan sebaya bagi mencegah salah laku dalam kalangan murid.
Pada masa sama, sistem aduan buli turut diperbaharui dengan penambahbaikan portal termasuk fungsi aduan tanpa nama bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.
"Tindakan juga diambil terhadap pentadbir, guru atau pegawai PPD yang cuai atau gagal mengurus aduan mengikut SOP. Pelbagai program intervensi seperti ‘Bangkit Bermaruah’ turut dilaksana bagi memberi peluang kedua kepada pelajar membentuk nilai tanggungjawab dan disiplin diri," katanya.