Suspek cabul wanita di Setia Alam diburu, rakaman CCTV tular

10 Jun 2026, 8:40 AM
Suspek cabul wanita di Setia Alam diburu, rakaman CCTV tular

SHAH ALAM, 10 JUN: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai mencabul seorang wanita ketika berjalan kaki pulang dari tempat kerja di sebuah kawasan perumahan di Setia Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa yang berusia awal 20-an pada jam 9.06 malam.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 malam ketika wanita berkenaan berjalan seorang diri melalui lorong sunyi di kawasan perumahan terbabit untuk pulang ke rumah.

“Secara tiba-tiba mangsa diserang dari arah belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali yang memakai baju merah dan seluar hitam.

“Suspek bertindak memeluk serta menutup mulut mangsa sebelum mencium dan meraba wanita berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarudin berkata suspek kemudian melarikan diri sejurus selepas melakukan perbuatan tersebut dan mangsa tidak mengalami sebarang kerugian.

"Usaha saha mengesan serta menjejaki suspek sedang dipergiat bagi memastikan keselamatan orang ramai," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau sebat, jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Zamri Abdul Rahman di talian 011-16652402 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian itu tular di media sosial dan mengundang kebimbangan orang ramai.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.