KUALA LUMPUR, 8 OKT: Kerajaan Negeri Selangor hari ini melancarkan Global Business Services (GBS) White Paper bagi memperkukuh kedudukan negeri dalam sektor berkenaan, sekali gus merangka pelaksanaan program pembangunan bakat khusus bermula tahun hadapan.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata inisiatif tersebut dilaksanakan melalui kerjasama dengan syarikat pengurusan hartanah Knight Frank serta badan pemerkasaan industri GBS Malaysia, bertujuan meningkatkan keupayaan Selangor dan membina ekosistem lebih kukuh bagi syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa.
“Masih ramai yang tidak sedar bahawa Selangor sebenarnya menempatkan sejumlah besar syarikat GBS. Kita ingin mempertingkatkan kemampuan negeri dalam menyediakan perkhidmatan GBS yang lebih menyeluruh,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pelancaran GBS White Paper sempena Ekspo Pelaburan dan Taman Perindustrian Selangor (Spark) 2025, yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
GBS atau Global Business Services merujuk kepada operasi sokongan berpusat berasaskan teknologi yang menyelaras pelbagai fungsi perniagaan dalam organisasi global.
Menurut Ng, usaha merapatkan jurang bakat dalam industri GBS menjadi keutamaan utama, dengan Kerajaan Negeri sedang merangka program latihan khusus bagi melahirkan tenaga muda profesional yang mahir dalam bidang pengurusan dan pemikiran strategik.
“Kita masih dalam perbincangan, namun program pembangunan bakat GBS akan dilaksanakan pada tahun hadapan. Pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi selepas perincian dimuktamadkan,” ujarnya.
Beliau menambah, Selangor sudah pun memiliki infrastruktur bertaraf dunia serta ruang pejabat moden di kawasan seperti Sunway, Kota Damansara dan perbandaran Sime Darby, yang sesuai dijadikan pusat operasi GBS.
Ng turut menegaskan kelebihan tenaga kerja pelbagai bahasa di Selangor memberi nilai tambah besar kepada industri, membolehkan negeri itu berupaya menawarkan perkhidmatan kepada pasaran Timur dan Barat secara berkesan.