ad

KPKT perkukuh pembangunan berorientasikan transit selaras aspirasi Malaysia MADANI

8 Okt 2025, 6:03 AM
KPKT perkukuh pembangunan berorientasikan transit selaras aspirasi Malaysia MADANI

SHAH ALAM, 8 OKT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus memperkukuh agenda pembangunan mampan melalui pelaksanaan konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

KPKT dalam kenyataan berkata aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan aspek kemampanan dan kesejahteraan rakyat menjadi asas kepada pelaksanaan inisiatif pembangunan bandar berasaskan sistem pengangkutan awam.

“Garis Panduan Perancangan (GPP) TOD bertujuan memberi panduan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam merancang serta mengawal pembangunan di sekitar stesen pengangkutan awam agar dapat meningkatkan kualiti hidup dan daya saing kawasan terbabit,” menurut kenyataan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Antara kawasan yang telah menerapkan konsep TOD termasuklah KL Sentral, Bukit Bintang, Kerinchi, Tun Razak Exchange (TRX) dan Kwasa Damansara di Lembah Klang.

Menurut KPKT, pelaksanaan pembangunan TOD di lapangan dilaksanakan oleh pihak pemaju swasta, dan kos projek bergantung kepada kemampuan serta perancangan mereka.

Bagi menggalakkan pelaksanaan konsep tersebut, kementerian turut menyediakan beberapa insentif kepada pemaju dan individu, termasuk peningkatan kepadatan ruang lantai bagi projek yang menyediakan rumah mampu milik serta pengurangan keperluan tempat letak kereta antara 20 hingga 100 peratus di kawasan komersial.

Konsep TOD menggabungkan pembangunan perumahan, komersial dan pengangkutan awam secara bersepadu bagi meningkatkan akses, kemudahan serta kesejahteraan komuniti bandar.