PENIAGA RUGI LEBIH RM80,000 DIPERDAYA "PHONE SCAM"
KUALA TERENGGANU, 8 OKT: Seorang peniaga kerugian RM83,500 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang mendakwa namanya digunakan untuk menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 1 Okt lepas, lelaki berusia 35 tahun itu dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum disambungkan kepada seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
"Mangsa didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan keldai akaun. Untuk membersihkan namanya, mangsa perlu memindahkan kesemua wang simpanan ke dalam akaun yang diberi suspek kononnya untuk kerja-kerja audit dan siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata mangsa yang panik telah mengikuti arahan suspek dengan memindahkan wang hasil simpanan dan perniagaan berjumlah RM83,500 ke tiga akaun berbeza semalam.
Beliau berkata mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis pada 6.17 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA