ad

BUDI95 catat 9.1 juta transaksi, rakyat nikmati harga RM1.99 seliter

7 Okt 2025, 8:42 AM
BUDI95 catat 9.1 juta transaksi, rakyat nikmati harga RM1.99 seliter

SHAH ALAM, 7 OKT: Program subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95) menunjukkan hasil positif apabila lebih 9.1 juta transaksi minyak direkodkan di stesen seluruh negara selepas seminggu dilaksanakan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, angka itu membuktikan program berkenaan berjalan dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Melalui BUDI95, rakyat boleh menikmati harga RON95 lebih murah dan pada masa sama membantu kerajaan mengurangkan pembaziran subsidi. Program ini juga bantu kemas kini maklumat penting seperti kad pengenalan dan lesen memandu,” katanya di platform X hari ini.

Beliau berkata laporan yang dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan program itu memberi kesan baik kepada rakyat dan kerajaan.

BUDI95 diwujudkan bagi memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang layak serta meningkatkan ketelusan perbelanjaan negara.

Kerajaan turut memperluas kelayakan subsidi kepada tiga kumpulan baharu melibatkan lebih 31,000 rakyat di seluruh negara.

Antara penerima baharu ialah 17,900 nelayan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, 4,300 pemilik bot persendirian di Sabah dan 9,700 pemegang lesen memandu baharu yang direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kini, lebih 16 juta rakyat menikmati subsidi RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.