KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Keputusan kerajaan mengembalikan kelayakan asas Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan penambahan kelayakan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat yang menyifatkannya sebagai langkah tepat dalam meringankan beban kos sara hidup.
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.
Dalam amanat itu, kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, dan BUDI Diesel dinaikkan daripada 300 kepada 400 liter, berkuat kuasa esok.
Rata-rata penerima manfaat menyatakan dengan kembalinya kuota berkenaan, ia memberikan kelegaan, khususnya dari segi kewangan bulanan dan membolehkan perbelanjaan diagihkan kepada keperluan asas lain.
Pekerja swasta, Furzani Ahmad, 24, berkata ia amat membantu untuk keperluan perjalanan ke tempat kerja.
"Bagi saya, dengan BUDI95 ini saya mampu menjimatkan sedikit sebanyak perbelanjaan bulanan saya. Setiap hari jarak yang saya kena lalui hampir 30 kilometer (km), 300 liter cukup untuk sebulan kadang ada juga lebihan," katanya.
Turut berkongsi pandangan sama, Darwisy Khairudin, 23, yang bersetuju dengan tindakan kerajaan mengembalikan kuota BUDI95.
"Jarak tempat kerja saya dari rumah hanyalah lebih kurang 20 km ke 25 km, namun disebabkan kadang saya ada tugasan luar, saya akan berkira-kira cukup atau tidak kuota minyak, jadi memang baguslah kerajaan kembalikan semula kuota ini," katanya.
Sementara itu, pengusaha gerai buah-buahan, Abdul Manan, 63, yang menggunakan kenderaan diesel untuk mengangkut stok jualannya menyifatkan penambahan kelayakan BUDI Diesel membantu menstabilkan kos operasi harian perniagaannya.
Beliau berkata tambahan kelayakan itu mengurangkan beban perbelanjaan logistik, sekali gus membolehkannya mengekalkan harga jualan buah-buahan yang berpatutan kepada pelanggan.
"Kadangkala kita ambil stok jauh, sudah pasti penggunaan minyak pun banyak. Jadi penambahan kuota diesel ini sekurang-kurangnya memberikan kelegaan kepada modal pusingan supaya harga jualan tidak perlu dinaikkan," katanya.
Program BUDI MADANI ialah inisiatif kerajaan dalam memastikan penyaluran subsidi bahan api dilakukan secara tersasar.











