NEW YORK, 7 OKT: Sempena Hari Habitat Sedunia yang disambut setiap Isnin pertama bulan Oktober, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres menitikberatkan krisis perumahan global dengan menyatakan lebih 300 juta orang tidak mempunyai tempat tinggal, manakala kira-kira satu daripada lapan orang tinggal di kawasan penempatan tidak rasmi, lapor Xinhua.
Guterres berkata dalam dunia yang sedang pesat membangun, bandar sering menanggung kesan krisis semasa, termasuk konflik, ketidakstabilan politik dan darurat iklim yang telah memaksa 123 juta orang meninggalkan rumah mereka – kebanyakannya mencari perlindungan di bandar dan pekan yang sememangnya terbeban.
Beliau memberi amaran bahawa perkhidmatan kesihatan, sistem bekalan air dan rangkaian pengangkutan kini berada pada tahap maksimum, sementara risiko bencana baharu terus menghantui.
Namun, beliau berkata bandar juga merupakan tempat di mana penyelesaian dapat berakar dan berkembang. “Apabila kita merancang secara inklusif, pendatang baharu mampu memacu ekonomi, mengukuhkan komuniti dan memperkayakan budaya,” kata beliau.
Bersempena Hari Habitat Sedunia kali ini, Guterres berkata dunia memberi tumpuan kepada penyelesaian – daripada penyediaan perumahan lebih baik, hak tanah, hinggalah ke akses air dan sanitasi – serta mengiktiraf kepimpinan penting datuk bandar dan kerajaan tempatan, selain daya tahan komuniti bandar, khususnya wanita dan belia.
“Paling utama, kita mahu berkongsi inovasi yang dapat menjamin akses kepada golongan paling rentan – termasuk orang kurang upaya, warga emas dan kanak-kanak.
Bandar bukan sekadar bata dan simen, tetapi jaminan rumah untuk berteduh,” katanya lagi.
PBB menetapkan Hari Habitat Sedunia pada 1985 bagi menilai keadaan tempat tinggal manusia serta memperjuangkan hak asas setiap individu untuk mendapat tempat perlindungan yang mencukupi.
Tema sambutan tahun ini ialah tindak balas terhadap krisis bandar.
--BERNAMA-XINHUA