PBB gesa negara Mediterranean lindungi GSF ke Gaza

18 Mei 2026, 8:49 AM
PBB gesa negara Mediterranean lindungi GSF ke Gaza

ISTANBUL, 18 MEI: Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki, Francesca Albanese menggesa negara-negara Mediterranean pada Isnin melindungi flotila bantuan menuju ke Semenanjung Gaza selepas aktivis melaporkan kehadiran kapal tidak dikenali berhampiran konvoi mereka di perairan antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Jangan ganggu flotila itu,” tulis Albanese di platform media sosial X, sambil menggesa negara-negara Mediterranean “melindungi kapal awam yang cuba memecahkan kepungan genosid Israel ke atas Gaza.”

Beliau turut menggesa kerajaan untuk “menamatkan kepungan”, “menghentikan keterlibatan dengan apartheid” dan “menegakkan keadilan.”

Albanese membuat kenyataan itu ketika berkongsi semula mesej daripada Global Sumud Flotilla yang menyatakan: “Kapal tidak dikenali telah dikesan berhampiran armada kami.”

Dalam amaran yang disiarkan pada petang Ahad, flotila itu memaklumkan bahawa kapal tentera laut, bot laju dan dron yang tidak dikenali dikesan berhampiran konvoi di perairan antarabangsa di Laut Mediterranean ketika misi bantuan itu meneruskan perjalanan ke Semenanjung Gaza.

Perkembangan itu berlaku selepas flotila berkenaan mengumumkan ketibaannya di perairan antarabangsa di Laut Mediterranean.

Misi Musim Bunga Global Sumud Flotilla 2026, yang bertujuan memecahkan sekatan Israel ke atas Semenanjung Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan penting, dipintas tentera Israel di luar pantai Crete antara 29 April dan 30 April.

Flotila bantuan itu diserang pada 30 April berhampiran Crete, kira-kira 600 batu nautika dari destinasinya.

Kapal pertama flotila itu, yang membawa bantuan kemanusiaan, berlepas dari Barcelona pada 12 April, manakala armada utama memulakan pelayaran dari pulau Sicily di Itali pada 26 April, dalam usaha memecahkan sekatan Israel yang telah berlarutan selama bertahun-tahun.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.