ad

Celik kewangan belum cukup, ramai masih terperangkap hutang

7 Okt 2025, 5:00 AM
Celik kewangan belum cukup, ramai masih terperangkap hutang

SHAH ALAM, 7 OKT: Tahap kesedaran semata-mata belum memadai untuk mencapai kecelikan kewangan sebenar kerana individu masih terdedah kepada maklumat salah, termasuk mengenai pelaburan dan skim kewangan yang meragukan.

Pempengaruh dan penulis buku kewangan Azraei Muhamad berkata peningkatan tahap kesedaran kewangan dalam kalangan anak muda dan golongan berpendapatan rendah didorong akses maklumat media sosial yang luas dengan pelbagai perkongsian mengenai pengurusan kewangan.

“Namun, ketika akses maklumat itu mudah, maknanya kita lambakkan ilmu yang mana ia juga meningkatkan risiko salah maklumat atau salah faham.

“Sebab itu hari ini, orang cerita pasal Bitcoin contohnya. ASB Financing. Tapi ada juga yang cerita dari sudut yang salah. Sebab itu, di samping ilmu ni sedang bertambah, kes-kes macam scam pun sedang bertambah juga sebab orang sedang cari ilmu,” katanya kepada Media Selangor.

Pempengaruh dan penulis buku kewangan Azraei Muhamad

Menurutnya, kajian menunjukkan dalam hutang ‘Buy Now Pay Later’ (BNPL) semakin meningkat sehingga mencecah RM1.5 bilion sebulan atau RM18 bilion setahun yang menimbulkan kebimbangan.

“Dalam kalangan Gen Z pun sedang bertambah hutang BNPL. Ini bermakna dalam kesedaran kewangan, mereka dalam masa yang sama menambah hutang semasa juga. Sekarang ini RM1.5 bilion sebulan hutang untuk BNPL setahun boleh jadi RM18 bilion. Jadi itu pun menjadi satu kerisauan juga,” katanya.

Beliau turut mengakui faktor gaji yang tidak meningkat serta kos sara hidup yang semakin tinggi menjadi antara punca utama Gen Z sukar menyimpan, namun aspek yang lebih penting untuk diberi perhatian ialah disiplin berbelanja.

“Kalau gaji RM3,000 tapi belanja RM4,000, naik gaji pun tetap tak cukup sebab perbelanjaan akan naik sama. Jadi, sebelum salahkan faktor luar kawalan seperti politik atau ekonomi, lebih baik kita lihat pada pilihan harian kita termasuk apa yang kita makan dan gaya hidup,” katanya.

Menurutnya, bagi membantu anak muda mengurus kewangan dengan lebih baik, langkah ke arah kestabilan kewangan termasuk fokus terhadap kawalan perbelanjaan dan pembinaan tabiat simpanan.

Selain itu, menyediakan tabung kecemasan, melangkah ke arah pelaburan serta meneruskan disiplin dalam pengurusan kewangan seperti mencatat perbelanjaan harian supaya setiap individu lebih jelas ke mana wang mereka dibelanjakan.

“Kalau kita catat hari-hari, kita akan nampak corak perbelanjaan sendiri. Dari situ kita boleh kawal disiplin kewangan dan buka jalan untuk pengurusan kewangan yang lebih baik,” katanya.

Baru-baru ini, Tinjauan Literasi Kewangan Malaysia 2025 oleh platform perbandingan kewangan RinggitPlus menunjukkan rakyat berpendapatan rendah (B40) di negara ini menunjukkan tahap celik kewangan yang semakin baik apabila lebih separuh daripada mereka yang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan kini merancang persaraan, berbanding hanya 48 peratus tahun lalu.

Tinjauan melibatkan 3,113 responden mendapati, kesedaran kumpulan B40 terhadap skor kredit juga meningkat apabila hanya 40 peratus melaporkan tidak mengenali konsep tersebut, menurun daripada 45 peratus sebelum ini.