Silat warisan bangsa: Anak muda Selangor terus martabatkan seni pusaka ke peringkat dunia

12 Sep 2025, 2:00 AM
Silat warisan bangsa: Anak muda Selangor terus martabatkan seni pusaka ke peringkat dunia

Di sebuah gelanggang sederhana, anak-anak muda melangkah dengan penuh tumpuan. Setiap gerakan bukan sekadar latihan fizikal, tetapi warisan yang mengalir turun-temurun.

Inilah silat, seni yang mendidik tubuh, jiwa dan akhlak, jauh melangkaui fungsi sebagai bela diri.

Bagi Naib Presiden PESAKA Selangor Dr Mohd Rafee Yaakub, silat adalah jiwa bangsa.

Seni ini bukan sekadar gerakan lama, tetapi madrasah kehidupan yang membentuk generasi muda agar berdiri teguh dengan disiplin dan maruah.

Naib Presiden PESAKA Selangor Dr Mohd Rafee Yaakub

Beliau pernah mengharumkan nama negara dengan meraih pingat emas di Sukan SEA 1987.

Pengalaman itu menjadikannya lebih dekat dengan dunia silat, baik di gelanggang pertandingan mahupun dalam usaha melahirkan pelapis baharu.

Dari gayong ke generasi baharu

Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM) diasaskan Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman pada 1963 merupakan antara persatuan silat pertama berdaftar di Malaysia.

“Kebetulan salah seorang murid silat Gayong pada ketika itu ialah pengasas UMNO, Dato’ Onn Jaafar. Beliau menasihatkan Dato’ Meor untuk daftar supaya mudah melaksanakan aktiviti.

“Bermula di Johor, kemudian ia berkembang ke negeri-negeri lain,” katanya.

Silat bukan hanya bela diri. Ia menanam nilai hormat kepada guru, ibu bapa, rakan malah lawan. Ia menjadikan pesilat lebih seimbang dalam aspek jasmani, emosi dan rohani.

“Dalam kelembutan ada kekuatan, dalam seni ada muslihat. Itulah keindahan silat yang memupuk disiplin hidup dan jati diri,” tambahnya.

Suara generasi muda

Perjalanan Muhd Ammar Haziq Muhd Supi bermula sekadar mengikut rakan di kawasan perumahan. Kini, pada usia 16 tahun, silat menjadi medan untuk mengenal nilai hidup.

“Silat ajar saya untuk tidak bergaduh, hormat orang, hormat tradisi dan sentiasa rendah diri,” katanya.

Ammar berhasrat melangkah ke pentas antarabangsa selepas mewakili Selangor dalam kejohanan negeri pada 2023 dan meraih tempat kedua.

Bagi Nur Dania Shaqirah Sariad, 16, silat bukan sahaja menguatkan fizikal, malah mengajar anak muda menjaga maruah diri.

Nur Dania Shaqirah Sariad

“Pada awalnya saya takut cedera, tapi lama-kelamaan saya rasa silat seronok dan jadikan badan lebih aktif.

“Silat ini warisan budaya yang kita harus pelajari dan kekalkan,” katanya yang pernah mewakili Selangor di peringkat kebangsaan pada 2023 dan 2024.

Sementara itu, pesilat cilik Muhammad Hazriq, 12, melihat silat sebagai kesinambungan legasi keluarganya.

Muhammad Hazriq

Bapanya sendiri seorang tenaga pengajar dan minat itu dikongsi bersama kakaknya.

“Saya nak sambung tradisi keluarga, dan silat banyak ajar teknik menarik untuk pertahankan diri,” ujarnya.

Cabaran dan harapan

Dr Rafee menegaskan suara generasi muda ini membuktikan silat masih relevan biarpun dunia digital berkembang pesat.

Cabaran tetap ada, terutamanya daripada sukan bela diri moden seperti MMA, Muay Thai dan Taekwondo yang lebih komersial.

Namun baginya, silat tetap istimewa kerana ia identiti bangsa. Lebih membanggakan, ia kini diterima di peringkat antarabangsa termasuk Eropah, Jepun dan Kanada.

Ramai rakan seperjuangannya kini menjadi jurulatih di luar negara, membawa seni warisan itu ke gelanggang dunia.

Sokongan dana

Dalam konteks pembangunan pula, sokongan dana amat penting. Setiausaha Kehormat PESAKA Selangor Hasrin Sajari mengakui bantuan daripada pelbagai pihak banyak membantu persatuan menggerakkan program silat.

“Dana daripada Menteri Besar Pemberbadanan (MBI), Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Sukan Negara (MSN) digunakan untuk pentadbiran, pertandingan serta penyediaan peralatan.

“Sekurang-kurangnya keperluan asas persatuan dapat ditampung,” katanya.

Namun, Hasrin berharap sokongan dapat diperkasakan lagi, terutama dalam pembangunan atlet pelapis.

“Saya juga harap Majlis Sukan Daerah dapat diaktifkan semula supaya bakat baharu di peringkat akar umbi dapat dicungkil,” ujarnya.

Dr Rafee menegaskan silat bukan sekadar persiapan menuju Sukan Malaysia (SUKMA), tetapi berpotensi diketengahkan hingga ke Sukan Asia, Komanwel bahkan Olimpik.

“Silat akan terus hidup selagi ada orang Melayu. Harapan saya, ia jadi kebanggaan bangsa dan terus berkembang di pentas antarabangsa,” katanya.