SHAH ALAM, 27 OKT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) terus komited memperkasa golongan usahawan melalui program celik kewangan dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (GGC).
Ketua Pegawai Perniagaannya, Nilammasri Jaafar berkata kerjasama itu memberi tumpuan kepada peningkatan literasi kewangan dalam kalangan usahawan tempatan menerusi modul disediakan AKPK yang menjadi asas kepada pengukuhan pengurusan kewangan.
“Inisiatif ini penting kerana kami mahu melahirkan usahawan yang celik kewangan dan berdisiplin dalam pengurusan hutang serta aliran tunai selain menjadikan modul yang disediakan AKPK asas untuk memperkukuh kemahiran menilai prestasi perniagaan dan menyediakan laporan kewangan yang lebih teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Program Pembangunan Usahawan 2025 di Hotel De Palma, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Nilammasri turut memaklumkan Hijrah Selangor akan melancarkan aplikasi sistem pengurusan pinjaman digital awal tahun depan bagi memudahkan urusan pinjaman dan mempercepatkan pengeluaran pembiayaan dalam tempoh 48 jam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir menegaskan kepentingan usahawan memiliki modul perniagaan yang mantap bagi memudahkan urusan pinjaman dan menguruskan kewangan dengan lebih berkesan.
“Kerjasama strategik bersama Hijrah Selangor ini menjadi model terbaik dalam menyokong agenda digitalisasi ekonomi rakyat Selangor sekali gus membantu membentuk komuniti usahawan yang mampan dan berdaya tahan,” ujarnya.

Majlis Apresiasi Program Pembangunan Usahawan 2025 diadakan sebagai tanda penghargaan kepada 74 usahawan yang menyertai tiga siri program pembangunan termasuk Entrepreneurial Development Programme (EDP) dan MyBijakNiaga yang berlangsung sejak Jun lalu.
Majlis turut diserikan dengan pengiktirafan kepada usahawan cemerlang melalui penyampaian anugerah dalam tiga kategori utama iaitu Ikon Spotlight EDP, Anugerah Go-Getter MyBijakNiaga dan Anugerah Khas kepada yang menyumbang dalam aktiviti khas bersama AKPK.





