ad

Tujuh ditahan siar video hasutan, fitnah pemimpin negara di media sosial

6 Okt 2025, 1:28 PM
Tujuh ditahan siar video hasutan, fitnah pemimpin negara di media sosial

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tujuh individu kerana disyaki terlibat dalam penyiaran hantaran berunsur hasutan, ugutan, penghinaan dan fitnah terhadap pemimpin negara di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata mereka ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) antara 17 Sept hingga 5 Okt, susulan tujuh kes penyebaran video di aplikasi TikTok dan Facebook.

Beliau berkata siasatan terhadap lima kes mendapati pengguna akaun TikTok @saya_alif5, @k_a_m_i_l_2905, @HonaKia53, @japajafaruddinshop dan @zollpatv dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap pemimpin negara serta kenyataan mengaibkan.

“Kes keenam melibatkan akaun TikTok @tokgompo yang memuat naik hantaran berunsur ugutan terhadap pemimpin negara manakala kes ketujuh melibatkan pengguna akaun Facebook, Vincent Naidu yang memuat naik hantaran berunsur hasutan serta kenyataan mengaibkan pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kumar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 505(b), 504 dan 506 Kanun Keseksaan selain Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata semua suspek direman antara satu hingga tiga hari bagi membantu siasatan.

Selain itu, siasatan mendapati seorang daripada suspek berusia lingkungan 40-an mempunyai 19 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah manakala seorang lagi berusia 60-an pernah disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang boleh menimbulkan hasutan, ugutan, penghinaan atau kegentaran awam,” katanya.

Kumar menasihatkan orang ramai sentiasa berhemah, berdisiplin dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau perkongsian di platform media sosial bagi mengelakkan tindakan undang-undang dan memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.

-- BERNAMA

TAG: polis, tahan, reman, USJT, JSJ, TikTok, Facebook