SHAH ALAM, 25 JULAI: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memuat naik hantaran di Facebook yang mengandungi unsur hasutan dan penghinaan terhadap agama Islam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, polis menerima laporan pada jam 12.38 tengah malam kelmarin daripada seorang lelaki yang melihat hantaran berkenaan tular di laman sosial.
Beliau berkata, semakan mendapati pemilik akaun Facebook menggunakan nama "Fadzil Zahari" berkongsi beberapa gambar tangkap layar yang dipercayai dimuat naik oleh pemilik akaun "Parthiban Ragu".
Menurutnya, kandungan itu mengandungi kenyataan menghina agama Islam serta ungkapan jelik dan lucah terhadap Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun pada jam 1 pagi hari ini di sekitar Iskandar Puteri," katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian.
Ab Rahaman berkata, semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, polis turut merampas dua telefon bimbit bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Suspek kemudiannya dibawa ke Mahkamah Johor Bahru sebelum majistret membenarkan permohonan reman selama empat hari sehingga Selasa depan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan.







