ad

Tiga individu disiasat kandungan video TikTok ada unsur hasutan

16 Sep 2025, 9:24 AM
Tiga individu disiasat kandungan video TikTok ada unsur hasutan

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Polis sedang menyiasat tiga kes melibatkan penularan kandungan video di aplikasi TikTok yang mempunyai unsur hasutan, penghinaan dan permusuhan serta peniruan gaya majlis istiadat diraja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5.

Beliau berkata kes pertama melibatkan seorang bekas penjawat awam yang menggunakan akaun TikTok miliknya untuk membuat komen berunsur hasutan serta penghinaan terhadap kerajaan dan pemimpin negara.

"Kes kedua pula melibatkan seorang lelaki yang menggunakan akaun TikTok miliknya yang didapati memuat naik hantaran mempertikaikan kerajaan dalam menangani insiden di Kampung Sungai Baru, yang berkemungkinan mencetuskan permusuhan antara kumpulan dalam negara.

“Kes ketiga pula melibatkan penularan video memaparkan satu keluarga yang berpakaian serba kuning dan bertengkolok seperti gaya istiadat kerabat diraja dalam satu majlis akikah yang dipercayai menyalahgunakan lambang diraja,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

Beliau berkata ketiga-tiga kes membabitkan penyalahgunaan media sosial yang boleh menimbulkan hasutan, penghinaan dan permusuhan dalam kalangan masyarakat.

"Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap individu yang terbabit.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruang awam mahupun media sosial,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.