ad

KPDN terima lebih 10 aduan salah guna 'Jualan Rahmah' di Kelantan

6 Okt 2025, 11:39 AM
KPDN terima lebih 10 aduan salah guna 'Jualan Rahmah' di Kelantan

KOTA BHARU, 6 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima lebih 10 laporan berkaitan penyalahgunaan jenama “Jualan Rahmah” di Kelantan, tahun ini.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata perkara ini timbul apabila pengusaha atau peniaga yang sengaja menggunakan jenama berkenaan untuk menarik perhatian pembeli, walaupun harga yang ditawarkan tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

"Mereka (peniaga) ini suka-suka letak perkataan 'Jualan Rahmah' untuk tarik perhatian pembeli dan harga yang diletakkan pun tidak mematuhi harga Rahmah untuk setiap barang ditawarkan antara 10 hingga 30 peratus.

"Terbaru, kita ada terima laporan daripada orang awam berhubung perkara ini di Kampung Batu 10, Kadok dan Langgar, Kota Bharu kerana barang-barang yang dijual itu tidak sama dengan harga telah KPDN tetapkan, dia letak harga biasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ihsan Rahmah MADANI di Kampung Pantai Mek Mas, di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai majlis hari ini, program Rumah Ihsan Rahmah MADANI membuktikan keupayaan sektor swasta dalam menyokong usaha kerajaan bagi memastikan rakyat di Kelantan mendapat kediaman selesa.

"Dengan sokongan padu daripada semua pihak, usaha ini bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan rakyat tetapi juga membantu dalam pembangunan ekonomi yang lebih mampan di peringkat negeri dan nasional," katanya.