SHAH ALAM,8 FEB: Alasan tidak mengetahui harga terkini, harga baharu naik serta mendakwa tidak sempat meletakkan tanda harga antara alasan paling kerap digunakan peniaga ketika pemeriksaan penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor sepanjang Januari hingga Disember 2025.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari dipetik akhbar Sinar Harian sebagai berkata, alasan sedemikian sering diberikan walaupun peniaga sebenarnya mengetahui harga sebenar barangan termasuk harga kawalan yang telah ditetapkan kerajaan.
Menurut beliau, dalam beberapa kes, peniaga mengakui maklum mengenai harga siling namun tetap menjual barangan pada harga lebih tinggi dengan alasan kos meningkat atau mengikut harga pasaran semasa.
“Antara kes yang kerap dikesan ialah penjualan barang kawalan seperti minyak masak pada harga melebihi kadar ditetapkan, meskipun barangan tersebut diperoleh melalui saluran subsidi,” katanya.
Muhamad Hanif berkata, terdapat juga peniaga yang mendakwa tidak mempunyai masa untuk meletakkan tanda harga, khususnya di premis kecil yang dikendalikan oleh seorang atau dua pekerja sahaja.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati ketiadaan tanda harga bukan bersifat sementara, sebaliknya disengajakan bagi membolehkan harga diubah mengikut situasi dan pelanggan,” katanya.
Tambah beliau, dalam beberapa keadaan, tanda harga hanya dipamerkan selepas menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa, sekali gus mencerminkan sikap sambil lewa terhadap pematuhan undang-undang.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan hak pengguna, malah membuka ruang kepada manipulasi harga serta eksploitasi yang sukar dikesan tanpa pemeriksaan berkala,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, KPDN Selangor mengesan kes peniaga menyalahkan pekerja walaupun pemilik sendiri berada di premis dan mempunyai kuasa penuh terhadap operasi perniagaan.
Menurut Muhamad Hanif lagi, sepanjang Januari hingga Disember 2025, sebanyak 110,067 premis perniagaan diperiksa di seluruh Selangor.
Daripada jumlah itu, katanya, 1,141 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Harga, 146 kes melibatkan Akta Kawalan Bekalan, 293 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat serta 62 kes berkaitan pelanggaran Akta Perlindungan Pengguna.
“Alasan tidak mengetahui harga terkini atau tiada masa mempamerkan tanda harga tidak boleh diterima kerana tanggungjawab itu terletak sepenuhnya kepada peniaga,” tegasnya lagi.


