ad

Amaran air pasang besar di Kuala Langat 6 hingga 11 Oktober, penduduk dinasihat waspada

6 Okt 2025, 7:48 AM
Amaran air pasang besar di Kuala Langat 6 hingga 11 Oktober, penduduk dinasihat waspada

SHAH ALAM, 6 OKT: Penduduk di sekitar Kuala Langat diingatkan berwaspada amaran fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku bermula 6 Oktober hingga 11 Oktober ini.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) memaklumkan orang awam disaran membuat persediaan awal serta sentiasa mengikuti perkembangan terkini bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.

“Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Patuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan,” maklumnya menerusi kenyataan.

MPKL turut mengingatkan semua aktiviti di kawasan pantai seperti berenang, berkelah, berkhemah, memancing, bermain pasir dan menaiki bot sepanjang tempoh tersebut adalah dilarang bagi menjamin keselamatan pengunjung dan penduduk setempat. 

Dalam pada itu, sebarang kecemasan atau bantuan segera, orang awam boleh menghubungi melalui talian 03-3182 2565 (Unit Pengurusan Bencana Daerah), 012-300 4256 (Pantas MPKL) atau 012-300 4130 (hotline aduan).