SHAH ALAM, 14 DIS: Kerajaan Selangor menyalurkan RM513,500 kepada gereja dan persatuan gereja di seluruh negeri tahun ini bagi menyokong pelaksanaan program serta penambahbaikan prasarana keagamaan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan berkenaan melibatkan RM442,500 kepada gereja dan RM71,000 kepada persatuan gereja di negeri ini.
“Kerajaan Negeri terus komited memastikan tiada sesiapa tercicir. Tahun ini sahaja, RM442,500 disalurkan kepada gereja di Selangor, manakala RM71,000 diperuntukkan kepada persatuan gereja.
“Tahun hadapan, peruntukan untuk lima agama utama selain Islam akan ditingkatkan daripada RM6 juta kepada RM8 juta,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Hari ini, Kerajaan Negeri meraikan warga Selangor terutama yang menyambut perayaan Krismas di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya dalam suasana meriah dengan kehadiran rakyat pelbagai kaum dan latar belakang.
Amirudin menekankan bahawa kepelbagaian kaum dan kepercayaan adalah kekuatan Selangor, yang menjadi asas kepada keharmonian, persefahaman dan kehidupan bersama dalam semangat Kita Selangor, Maju Bersama.
Menurutnya, perbezaan dari segi bahasa, budaya dan kepercayaan seharusnya menjadi jambatan untuk saling memahami, bukan garis pemisah dalam masyarakat.
“Tiada tempat untuk ekstremisme yang meniup api perkauman dan kebencian di Selangor. Semoga semangat memberi, refleksi dan keamanan yang dibawa perayaan Krismas ini mengukuhkan iltizam kita membina masa depan bersama,” katanya.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian di Selangor serta berharap tahun 2026 membawa lebih banyak kebaikan dan harapan kepada semua.





