ad

Penantian 20 tahun berakhir, penduduk Dengkil dapat rumah baharu

6 Okt 2025, 4:46 AM
Penantian 20 tahun berakhir, penduduk Dengkil dapat rumah baharu

SEPANG, 6 OKT: Seramai 167 keluarga menerima surat tawaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, Dengkil bernilai lebih RM88 juta, sekali gus menamatkan penantian lebih 20 tahun pemilik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penerima sebelum ini menetap di penempatan sementara Rumah Kos Rendah (RKR) Taman Permata, Dengkil selepas dipindahkan sekitar 1998 dari beberapa ladang termasuk Ladang Prang Besar.

“Alhamdulillah, kita dapat menyelesaikan isu yang berlarutan lebih daripada 25 ke 26 tahun. Ia bermula sekitar 1998 atau 1999 untuk pembinaan Putrajaya yang melibatkan ladang Prang Besar yang telah dipindahkan sementara. Tapi sementara itu 20 tahun lebih.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (kanan) bersama Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu (kiri) dan Exco Perumahan Datuk Borhan Aman Shah melihat rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran PPR Ampar Tenang di Dengkil pada 6 Oktober 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Apa yang terjadi ialah sebelum ini ketika mereka tinggal di sana (Taman Permata) Kerajaan Negeri cuba bantu menyelenggara, menyusun hingga kita pernah belanja lebih kurang RM1.5 juta.

“Tapi perumahan rumah sementara itu agak daif dan hari ini perumahan yang dijanjikan kira-kira 25, 26 tahun lepas dapat direalisasikan,” katanya selepas menyempurnakan sesi penyerahan surat tawaran dan pengundian PPR Ampar Tenang di sini.

Jelas Amirudin pemilik rumah yang sudah menerima surat tawaran boleh mendiami kediaman masing-masing selepas menyelesaikan beberapa perkara termasuk utiliti.

“Untuk rekod, ini adalah penyelesaian pemilikan kedua selepas lima ladang di Hulu Selangor yang melibatkan kos RM75 juta dengan sokongan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga,” katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melihat rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran PPR Ampar Tenang di Dengkil pada 6 Oktober 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata PPR Ampar Tenang merangkumi 404 unit rumah teres satu tingkat dengan kos pembinaan melebihi RM88 juta ditanggung sepenuhnya kerajaan.

Setiap unit berkeluasan 700 kaki persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air, ia dianggarkan bernilai lebih RM217,000.

Beliau berkata penerima hanya perlu menyelesaikan bayaran rumah RKR Taman Permata kepada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sebanyak RM20,000 bagi melayakkan mereka menerima rumah baharu secara percuma.

Kawasan perumahan itu turut dilengkapi kemudahan asas seperti balai komuniti dan kawasan tanah lapang untuk kegunaan bersama penduduk selain empat unit rumah mesra orang kurang upaya (OKU).

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu (kanan) dan EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah (tiga, kanan) melihat rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran PPR Ampar Tenang di Dengkil pada 6 Oktober 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Pelaksanaan PPR Ampar Tenang ini membuktikan komitmen Kerajaan Madani melalui melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menyediakan kediaman selesa, berkualiti dan mampu milik,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan penerima kediaman berkenaan terdiri daripada pekerja dari empat ladang iaitu Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgely yang selama ini tinggal di perumahan sementara di Taman Permata, Dengkil.

PPR Ampar Tenang dibangunkan khas untuk menempatkan semula penduduk RKR Taman Permata yang disahkan tidak lagi selamat diduduki akibat keretakan serius.