SEPANG, 6 OKT: Sambutan Deepavali tahun ini cukup bermakna buat bekas penghuni ladang estet Prang Besar, Mangala Devi, apabila penantian 27 tahun untuk memiliki kediaman kekal akhirnya menjadi kenyataan.
Devi, 51, antara 167 keluarga yang menerima surat tawaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, Dengkil hari ini. Sebelum ini, beliau menetap di penempatan sementara Rumah Kos Rendah (RKR) Taman Permata, Dengkil selepas dipindahkan sekitar 1998 dari ladang Prang Besar, Sepang.
“Saya sudah 27 tahun duduk di flat Taman Permata selepas pindah dari estet (Prang Besar). Sekarang kita gembira dapat rumah baru dan secepat mungkin mahu pindah ke sini. Ini hadiah Deepavali tahun ini.

“Dekat sana, flat itu kita perlu naik tangga. Walaupun rumah saya tingkat satu, saya ada sakit lutut. Jadi nanti bila semakin tua mungkin akan masalah. Terima kasih Kerajaan Selangor dan semua untuk rumah teres ini,” katanya.
Majlis penyerahan surat tawaran disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu dan EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah.
Sementara itu, kerani, M Ravi, 59, berkata penyelesaian pemilikan rumah itu juga hadiah bermakna buatnya sekeluarga sempena Deepavali apabila dapat memiliki kediaman sendiri.

“Saya sejak 2001 tinggal di flat Taman Permata. Jadi keadaannya sudah teruk sekarang. Memang sangat gembira bila dapat rumah ini tahun ini,” katanya.
Bagi pesara Nordin Sitam, 62, yang dibesarkan di estet Prang Besar, turut berkongsi rasa lega apabila penantian panjangnya berakhir dengan kediaman tetap yang jauh lebih selesa berbanding rumah sementara yang didiami sebelum ini.
“Sudah 16 tahun tunggu. Hari ini muncul. Alhamdulillah dengan rezeki ini. Dulu kami tinggal di flat dengan satu bilik air sahaja. Kini, rumah baharu ini sangat selesa untuk keluarga,” katanya.

Sebanyak 167 keluarga menerima surat tawaran PPR Ampar Tenang, Dengkil bernilai lebih RM88 juta yang ditanggung sepenuhnya kerajaan, sekali gus menamatkan penantian lebih 20 tahun pemilik.
PPR Ampar Tenang melibatkan 404 unit rumah teres satu tingkat berkeluasan 700 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air dianggarkan bernilai lebih RM217,000.
Sebelum ini media melaporkan penerima kediaman itu adalah pekerja dari empat ladang iaitu Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgely yang selama ini tinggal di perumahan sementara di Taman Permata, Dengkil.
PPR Ampar Tenang dibangunkan khas untuk menempatkan semula penduduk RKR Taman Permata yang disahkan tidak lagi selamat diduduki akibat masalah keretakan serius.