ad

Sindiket paslu cap imigresen tumpas, wanita tempatan dan empat warga asing ditahan

5 Okt 2025, 2:42 PM
Sindiket paslu cap imigresen tumpas, wanita tempatan dan empat warga asing ditahan

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Polis menahan empat lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan Rabu lepas kerana dipercayai terlibat dengan sindiket pemalsuan cap imigresen.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata tangkapan dilakukan pada 12.25 tengah hari oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

“Dalam serbuan pertama di sebuah pangsapuri di Gombak, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun dan hasil pemeriksaan lanjut menemukan barang-barang disyaki digunakan untuk pemalsuan cap imigresen,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata susulan tangkapan itu, pihaknya menahan tiga lagi lelaki warga asing berusia antara 39 hingga 47 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 47 tahun di sekitar Shah Alam.

Kesemua suspek kini direman hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Fadzrul Akmal Zulkarnain menerusi talian 010-2057600 atau Bilik Gerakan IPD Gombak 03-6126 2222,” katanya.

-- BERNAMA