KUALA LUMPUR, 5 OKT: Sungai Klang berpotensi menjadi lokasi rekreasi termasuk untuk mandi jika usaha pemulihan dan pemuliharaan dilakukan secara berterusan serta menyeluruh.
Presiden Sahabat Sungai Malaysia Prof Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata aktiviti mandi sungai bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi boleh dijadikan ukuran baharu menilai tahap kebersihan sungai di negara ini.
“Dahulu, semasa kecil, orang kampung mandi di sungai setiap pagi dan petang. Sungai ketika itu menjadi keperluan asas. Kini sudah tiba masa kita kembali menjadikan aktiviti mandi sebagai penanda bersih sungai,” katanya.
Zaini berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi ahli panel Forum “Bila Kita Boleh Mandi Sungai Klang?” anjuran Sahabat Sungai Malaysia dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.
Penanda aras “boleh atau tidak boleh mandi”, menurut beliau lebih mudah difahami masyarakat berbanding pengelasan sungai berdasarkan petunjuk biokimia yang sering digunakan.
“Apabila kita kata sungai ini bersih atau tidak, rakyat mungkin sukar faham. Tapi bila ditanya boleh mandi atau tidak, ia lebih mudah difahami,” katanya.
Zaini berkata usaha menjadikan Sungai Klang dan Sungai Langat sebagai sungai mesra rakyat yang bersih serta sesuai untuk aktiviti rekreasi air memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak.
“Untuk itu, kita perlu mengenal pasti punca pencemaran dan cara menanganinya dengan berkesan. Pada masa sama, usaha juga perlu dilakukan terhadap tebing sungai supaya lebih menarik dan selamat untuk pengguna,” katanya.
Beliau berkata tanggungjawab menjaga sungai bermula dari rumah termasuk memastikan sistem saliran dan tangki septik diselenggara baik serta disambungkan kepada saluran pembetungan awam.
Selain itu, Zaini berkongsi pengalaman ke beberapa bandar utama di Eropah yang menjadikan aktiviti mandi sungai sebagai indikator tahap kebersihan air.
“Sungai yang bersih bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk tempatan malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan.
“Apabila sungai kita bersih, orang akan datang bukan hanya untuk mandi, tetapi juga menikmati pemandangan dan merakam gambar,” katanya.
-- BERNAMA