ad

Kakitangan JKR terlibat kemalangan Plaza Tol Bukit Kajang meninggal dunia

5 Okt 2025, 6:33 AM
Kakitangan JKR terlibat kemalangan Plaza Tol Bukit Kajang meninggal dunia

SHAH ALAM, 5 OKT: Mangsa kemalangan empat kenderaan di Tol Bukit Kajang minggu lalu, Mohd Hafizi Anuar yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia pada jam 11 pagi tadi.

Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi Facebook memaklumkan, Mohd Hafizi yang bertugas di cawangan Shah Alam menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kajang.

“Difahamkan jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Klang selepas Zuhur dan akan dikebumikan selepas Asar hari ini.

“Pengurusan tertinggi serta seluruh warga JKR Malaysia amat berdukacita atas berita ini dan menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham.

“Semoga Allah SWT mengangkat segala khidmat bakti beliau di sepanjang hayatnya sebagai amal dan ibadah serta memberikan ketabahan kepada keluarga beliau atas ujian ini,” kata JKR.

Pada kejadian 27 September itu, Mohd Hafizi, 47, bersama rakannya Aliq Hazua Muhammad Muslal, 35, baharu selesai menjalankan tugas menyelenggara di bangunan Penjara Kajang.

Kemalangan terbabit menyebabkan kedua-duanya mengalami cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah lori.

Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu turut meragut nyawa bayi lelaku berusia setahun, Amir Husayn Amirul Ridzuan.