KUALA LANGAT, 5 OKT: Program Santuni Madani di Kampung Sungai Lang Baru di sini semalam bukan sahaja mengeratkan silaturahim penduduk setempat malah turut menarik penyertaan aktif generasi muda menerusi aktiviti rewang dan perlawanan persahabatan bola sepak.
Penduduk, Saliah Towel, 62, berkata program itu menjadi medan menemukan penduduk pelbagai lapisan umur dari generasi muda sehingga warga emas sekali gus mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan kejiranan komuniti setempat.

"Dapat dilihat kerjasama dalam kalangan penduduk tanpa mengira umur, bangsa mahupun latar belakang.
“Selain aktiviti rewang, sumbangan turut disalurkan kepada enam penduduk yang memerlukan bantuan menerusi sesi ziarah kasih serta bantuan 150 unit Bakul Rahmah bagi meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan,” katanya kepada Media Selangor.
Bagi Zainun Marijo, 70, penglibatan menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat melalui Program Santuni Madani mencerminkan semangat kebersamaan yang kian utuh dalam kalangan penduduk kampung.

“Penganjuran program ini secara tidak langsung dapat menyemai nilai gotong-royong dan kerjasama yang semakin dilupakan. Saya harap program seperti ini diteruskan untuk menguatkan ukhuwah sesama penduduk,” jelasnya.
Dalam pada itu, Arjunah Marzuki, 62, pula bersyukur kerana beliau terpilih untuk menjadi salah seorang penerima dalam Program Prihatin yang merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membaiki rumah usang.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan bantuan yang diterima daripada Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk membaik pulih rumah saya.

“Sebelum ini, saya perlu berhadapan dengan situasi rumah dinaiki air setiap kali hujan namun, dengan adanya bantuan ini ia sangat bermakna dan dapat meringankan beban saya sekeluarga,” tambahnya.
Terdahulu, EXCO Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah bersama Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mohd Iqbal Mohd Noor turun padang menyantuni penduduk Kampung Sungai Lang Baru susulan kampung berkenaan terpilih dalam Program Santuni Madani.
Pada majlis sama, dua unit rumah terpilih untuk dibaik pulih dibawah kendalian Lembaga Zakat Selangor (LZS) cawangan Kuala Langat dengan kerjasama BPH dan JPM manakala sebuah lagi unit dibaik pulih hasil sumbang empat syarikat konsesi dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM107,100.