ad

Melosel lonjak Kuala Langat sebagai pengeluar utama melon negeri

4 Okt 2025, 1:42 PM
Melosel lonjak Kuala Langat sebagai pengeluar utama melon negeri
Melosel lonjak Kuala Langat sebagai pengeluar utama melon negeri

KUALA LANGAT, 4 OKT: Kuala Langat muncul sebagai pengeluar melon terbesar di Selangor berikutan menerima pelbagai sokongan termasuk inisiatif pertanian moden.

Orang Besar Daerah Kuala Langat Yang Dimuliakan Tengku Dato’ Mohamed Tengku Harun berkata, daerah itu juga merupakan pengeluar utama buah Melon Selangor atau Melosel dengan mencatatkan 10,000 polibeg di Pusat Pertanian Kampung Endah.

"Oleh demikian, Jabatan Pertanian Negeri Selangor menjadikan Kuala Langat sebagai daerah kluster bagi industri tanaman fertigasi khususnya tanaman melon selain pisang dan ubi kayu yang sekian lama menjadi 'trademark' bagi daerah ini," katanya ketika merasmikan Selangor Agro Green @Kuala Langat 2025 di Pantai Kelanang di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika ini terdapat 30 usahawan tani mengusahakan fertigasi melon di Kuala Langat.

Katanya, sehingga kini harga pasaran melon agak stabil dan sering mendapat permintaan tinggi terutamanya Melosel yang sering menjadi pilihan utama penggemar melon.

Selain dijual segar, melon ini turut dipelbagaikan kepada produk hiliran seperti aiskrim, jus, kordial, puri, jem, kek, biskut dan dodol yang baru dilancarkan pagi tadi.

Program Selangor Agro Green 2025 yang berlangsung hari ini dan esok menampilkan pelbagai aktiviti menarik antaranya Jualan Ehsan Rahmah, promosi produk usahawan tani, fun run, pembuatan baja organik, pertandingan mencari pepahat, demontrasi 'green kit' dan pelbagai aktiviti keluarga sepanjang hujung minggu.