ad

Galak kerjasama syarikat konsesi, perkasa kebajikan rakyat

4 Okt 2025, 9:17 AM
Galak kerjasama syarikat konsesi, perkasa kebajikan rakyat
Galak kerjasama syarikat konsesi, perkasa kebajikan rakyat
Galak kerjasama syarikat konsesi, perkasa kebajikan rakyat
Galak kerjasama syarikat konsesi, perkasa kebajikan rakyat
Galak kerjasama syarikat konsesi, perkasa kebajikan rakyat

KUALA LANGAT, 4 OKT: Syarikat konsesi di Selangor disaran memainkan peranan lebih aktif dalam menjayakan Program Santuni MADANI menerusi pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata penglibatan syarikat berkenaan penting bagi memastikan bantuan seperti pengagihan zakat wakalah serta baik pulih rumah dapat dilaksanakan secara lebih meluas dan berkesan.

“Kita menggalakkan syarikat konsesi untuk turut menyumbang melalui pengagihan zakat wakalah kepada golongan layak khususnya asnaf.

“Langkah ini bukan sahaja meringankan beban penerima tetapi juga memperkukuh hubungan antara syarikat dan masyarakat setempat,” katanya selepas merasmikan Program Santuni MADANI di Kampung Sungai Lang Baru, Banting di sini hari ini.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas Program Santuni MADANI di Kampung Sungai Lang Baru, Kuala Langat pada 4 Oktober 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau menambah syarikat konsesi juga boleh memohon semula 30 peratus daripada jumlah zakat yang dikeluarkan untuk melaksanakan CSR sendiri bergantung kepada golongan asnaf yang dibantu.

Terdahulu, Borhan bersama Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri, Mohd Iqbal Mohd Noor menyantuni penduduk Kampung Sungai Lang Baru susulan kampung itu terpilih menyertai Program Santuni MADANI.

Pada majlis sama, dua unit rumah dibaik pulih di bawah kendalian Lembaga Zakat Selangor (LZS) cawangan Kuala Langat dengan kerjasama BPH dan JPM manakala sebuah lagi unit dibaik pulih hasil sumbangan empat syarikat konsesi berjumlah keseluruhan RM107,100.

Program Santuni MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 merupakan inisiatif menyeluruh bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat di seluruh negara.